Rusia tinjau peluang perdagangan di sini

Rusia tinjau peluang perdagangan di sini

Oleh Abdul Rahim Haji Ismail

BANDAR SERI BEGAWAN, 13 Ogos – Persekutuan Rusia menyuarakan minat untuk menerokai lebih lanjut bidang perdagangan dan pelaburan dua hala dengan Brunei yang dikenal pasti mampu meningkatkan perdagangan dua hala yang ketika ini berada di tahap rendah.

Sehubungan itu, lebih 30 usahawan dan komuniti peniaga Rusia dijangka akan membuat lawatan ke negara ini mulai 26 hingga 28 Ogos depan bagi meninjau peluang-peluang perdagangan dan pelaburan dua hala yang dapat dijalin dengan kerajaan serta sektor perdagangan negara ini.

Antara bidang kerjasama ekonomi yang menunjukkan potensi untuk diwujudkan termasuk hab industri makanan halal, pelancongan Islam, khidmat kepakaran industri minyak dan gas, pembangunan, infrastruktur, pembinaan, pelaburan, pertanian, perbankan serta sains dan teknologi.

Pada pertemuan bersama wartawan di Pejabat Kedutaan Persekutuan Rusia di Negara Brunei Darussalam di Hotel Star Lodge, Jerudong baru-baru ini, Duta Besar Persekutuan Rusia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos berkata, lawatan yang melibatkan penyertaan kira-kira 25 syarikat Rusia itu berhasrat untuk mewujudkan hubungan ekonomi dua hala serta platform bagi forum perdagangan, di samping meninjau senario ekonomi negara ini dengan syarikat tempatan.

Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos mengatakan hasrat Rusia yang ingin mewujudkan hubungan ekonomi dua hala serta platform bagi forum perdagangan.
Tuan Yang Terutama Vladlen Semivolos mengatakan hasrat Rusia yang ingin mewujudkan hubungan ekonomi dua hala serta platform bagi forum perdagangan.

Menurutnya, sepanjang lawatan yang dianjurkan oleh Majlis Perniagaan Rusia-ASEAN itu, delegasi usahawan Rusia tersebut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan beberapa agensi antaranya Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Kementerian Perhubungan, Jabatan Tenaga di Jabatan Perdana Menteri dan PetroleumBrunei.

“Kami berhasrat untuk meluaskan hubungan dengan Negara Brunei Darussalam dalam pelbagai bidang dan kami telah pun melaksanakan beberapa langkah dalam bidang pertanian dan pendidikan.

“Dan pada masa ini kami sedang mencuba untuk mewujudkan jalinan kerjasama dalam bidang perdagangan dan ekonomi,” kata beliau ketika ditanya mengenai tujuan lawatan yang julung kalinya diadakan oleh delegasi dagangan Rusia ke negara ini.

Beliau menjelaskan, pada masa ini jumlah dagangan ekonomi dua hala antara Rusia dan Negara Brunei Darussalam begitu rendah, dan memandang ke hadapan, kedua-dua negara mempunyai banyak potensi yang dapat dijayakan atas dasar kerjasama.

TYT Semivolos menegaskan, Rusia boleh menawarkan banyak bidang kepakaran, terutama dalam sains dan teknologi, dan sebagai salah sebuah pengeluar terbesar beberapa komoditi di pasaran dunia, negara itu yakin kerjasama yang bakal terjalin itu berupaya memanfaatkan kedua-dua negara pengeluar minyak dan gas itu.

Katanya lagi, misi perdagangan yang terdiri daripada syarikat besar dalam industri cari gali minyak dan gas serta komunikasi seperti syarikat komunikasi dan pembekal alat komunikasi mudah alih besar Rusia, Angkort, itu berhasrat untuk menjalin hubungan dagang dan ekonomi jangka panjang dengan kerajaan dan komuniti perniagaan tempatan.

Angkort juga dijadualkan mengadakan pertemuan dengan syarikat telekomunikasi tempatan, Telekom Brunei Berhad (TelBru), bagi bertukar pandangan dan membincangkan peluang kerjasama komunikasi dua hala.

“Pihak kami bekerjasama rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan bagi mengaturkan siri pertemuan dengan komuniti perdagangan tempatan dan bersama pejabat kedutaan Rusia juga kami telah mengaturkan pertemuan dengan Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei (BEDB) serta beberapa kementerian lain,” ujarnya.

Diminta menjelaskan lanjut mengenai kerjasama di bidang produk halal, Tuan Yang Terutama Semivolos menyatakan, terdapat banyak ruang yang boleh diterokai bersama oleh kedua-dua negara dan dengan memiliki kira-kira 18 juta rakyatnya yang beragama Islam, Rusia juga mempunyai kepakaran dan mengeluarkan sejumlah besar makanan halal.

“Syarikat-syarikat kami berminat untuk menjalin hubungan lebih erat lagi dengan syarikat-syarikat Brunei bagi mencari jalan untuk mewujudkan hab halal yang cemerlang di rantau ini,” beliau berkata.

Kami akan mengadakan forum dan dialog perdagangan yang mana usahawan Rusia akan menerangkan mengenai keistimewaan senario pasaran Rusia, rejim pasaran dan pelaburan di persekutuan itu selain mendengar taklimat daripada agensi tempatan bagi mengetahui lebih dekat mengenai senario pasaran dan pembangunan di negara ini.

Selain tu, minat yang meningkat juga ditunjukkan oleh usahawan Rusia untuk mewujudkan kerjasama dua hala dalam industri pelancongan Islam dengan mewujudkan jalinan sesama agensi pelancongan dari kedua-dua negara.

“Maka, kami menganggap misi delegasi perdagangan ini sebagai sesuatu langkah penting bagi Rusia kerana ia misi yang julung kalinya dan meninjau pelbagai kemungkinan bagi membentuk kerjasama perdagangan dua hala dan ekonomi dengan Brunei.

“Kami juga berasa bangga kerana kunjungan delegasi ini adalah bersempena sambutan ulang tahun ke-25 tahun terjalinnya hubungan diplomatik antara Persekutuan Rusia dan Negara Brunei Darussalam yang bakal disambut pada tahun depan,” ujar beliau.

Tuan Yang Terutama bersikap realistik bahawa lawatan itu akan membuahkan hasil positif yang akan memanfaatkan kedua-dua belah pihak sejajar dengan matlamatnya untuk membentuk platform perniagaan yang membolehkan komuniti perniagaan kedua-dua buah negara mencari jalan untuk mengembangkan lagi sektor perdagangan dan perindustrian.

Atas dasar itu juga, sebelum mengakhiri temu bual itu, beliau menyatakan harapan agar kejayaan misi dagangan tersebut dapat disusuli dengan lawatan balas oleh misi perdagangan Brunei ke Rusia dan teras kepada misi-misi dagang dua hala yang lain di masa akan datang.

ARTIKEL YANG SAMA