Rusia tolak tuduhan skandal doping

Rusia tolak tuduhan skandal doping

MOSCOW, 9 Jun – Rusia menolak tuduhan yang diperbaharui terhadap Menteri Sukan Vitaly Mutko hari ini selepas syarikat penyiaran Jerman ARD, menyiarkan satu dokumentari yang menguatkan lagi syak wasangka terhadap sokongan kerajaan terhadap doping di Rusia.

“Kami menganggap ini sebagai fitnah sepenuhnya,” jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata dalam komen yang disiarkan oleh agensi berita kerajaan TASS.

Presiden Rusia, Vladimir Putin dan Mutko “telah berulang kali mengatakan mereka turut serta dalam aktiviti anti-doping dalam kolaborasi rapat dengan struktur antarabangsa yang bertanggungjawab,” ujar Peskov.

Dokumentari televisyen, bertajuk “Rahsia Dunia Doping: Bersemuka bagi Rusia,”mengaitkan Mutko dalam menutup ujian doping yang gagal pada pemain bola sepak Rusia dalam liga utama negara itu.

Persatuan Persekutuan Olahraga Antarabangsa (IAAF) akan memutuskan pada 17 Jun sama ada untuk meneruskan atau menarik balik penggantungan persekutuan olahraga Rusia yang dikenakan pada November lepas, satu keputusan yang akan mempunyai kesan pada Olimpik Rio de Janeiro 2016 bermula Ogos ini.

Ia berikutan laporan daripada suruhanjaya Agensi Anti-Doping Dunia (WADA), yang mengatakan negara itu menggunakan doping bersistematik dan menutup ujian positif doping. – dpa