Rusia tubuh dana simpanan $100 bilion untuk BRICS

Rusia tubuh dana simpanan $100 bilion untuk BRICS

MOSCOW, 3 Mei (AFP) – Presiden Rusia Vladimir Putin mengesahkan satu perjanjian semalam untuk menubuhkan sebuah dana simpanan bernilai $100 bilion untuk BRICS – lima ekonomi membangun yang termasuk Rusia, China, Brazil, India dan Afrika Selatan.

Moscow dijangka menyumbang $18 bilion kepada dana simpanan itu, jauh di belakang $41 bilion yang telah dijanjikan akan disumbang oleh China dalam dana yang ditubuhkan selepas satu perjanjian ditandatangani pada Julai 2014 di Brazil.

Ekonomi membangun juga merancang menubuhkan bank antarabangsa mereka sendiri yang berpangkalan di Shanghai untuk mencabar penguasaan negara barat ke atas pasaran wang antarabangsa.

“Perjanjian mengenai penubuhan dana simpanan am untuk negara BRICS telahpun disahkan,” kata satu dokumen daripada Kremlin dipetik oleh agensi berita RIA Novosti.

Dana bertujuan melindungi BRICS terhadap “tekanan kecairan jangka pendek” dan mempromosi kerjasama yang lebih di antara lima negara anggota.

Rusia, yang telah mengalami turun naik mata wang yang besar sejak meletusnya krisis di Ukraine – melihat dana sebagai satu alternatif kepada institusi kewangan antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia yang dikuasai oleh Amerika Syarikat.

Negara BRICS di antara mereka menyumbang kepada 40 peratus daripada penduduk dunia, dan satu perlima daripada KDNK dunia.

ARTIKEL YANG SAMA