Rusia tubuh pangkalan tetap di Syria

Rusia tubuh pangkalan tetap di Syria

MOSCOW, 10 Okt – Kementerian pertahanan Rusia berkata hari ini yang negara itu sudah bersedia untuk mentransformasikan kemudahan tentera lautnya di bandar pelabuhan Tartus, Syria menjadi sebuah pangkalan tetap.

“Di Syria kami akan mempunyai pangkalan tentera laut tetap di Tartus,” agensi berita Rusia memetik timbalan menteri pertahanan, Nikolai Pankov sebagai berkata.

Pengumuman itu mewakili langkah terbaru oleh Moscow untuk memperkukuhkan pasukan tenteranya di Syria ketika ketegangan dengan Barat memuncak berhubung kempen pengeboman Rusia yang menyokong Presiden Bashar al-Assad.

Kementerian pertahanan berkata minggu lalu ia telah menghantar sistem peluru berpandu udara S-300 ke Tartus dan memberi amaran Washington ia boleh membatalkan sebarang percubaan serangan AS di Syria.

Moscow juga menghantar tiga kapal peluru berpandu untuk memperkuatkan pasukan tentera lautnya di pantai negara yang dilanda konflik.

Pankov tidak memberitahu bila ia akan mengubah kemudahan tentera laut Tartus – yang bertarikh pada era Soviet – menjadi pangkalan tetap.

Menurutnya tujuan utama S-300 itu adalah untuk melindungi kemudahan tentera laut Tartus.

Ahli perundangan Rusia pada Jumaat meratifikasikan satu perjanjian dengan Syria ke atas penghantaran ‘tidak jelas’ pasukan udaranya ke negara itu, satu langkah yang dilihat sebagai membuka jalan bagi jet-jetnya untuk menetap bagi jangka masa yang panjang.

Perjanjian itu, yang ditandatangani antara Moscow dan Damsyik pada Ogos 2015, membenarkan Rusia untuk menubuhkan pangkalan udara Hmeimimnya untuk melancarkan operasi tahun lepas. – AFP