Rusia tundukkan New Zealand

SAINT PETERSBURG, 18 Jun – Pasukan tuan rumah Rusia memulakan dengan kemenangan bagi persaingan Piala Konfederasi semalam, dengan jaringan separuh masa kedua Fedor Smolov melengkapkan kemenangan 2-0 ke atas New Zealand di Saint Petersburg dalam perlawanan pembukaan itu.

Rusia mendahului pada separuh masa pertama dalam persaingan Kumpulan A menerusi apa yang dilihat sebagai jaringan sendiri dari pemain pertahanan New Zealand, Michael Boxall, dan Smolov, penjaring terbanyak dalam liga Rusia musim lalu, melengkapkan mata penuh pada minit ke-69.

Ia adalah permulaan yang menarik bagi pasukan Rusia dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Krestovsky, di mana Presiden Vladimir Putin dan ketua FIFA, Gianni Infantino keduanya memberikan ucapan sebelum sepak mula.

Pesaing Kumpulan A, Portugal yang diterajui oleh Cristiano Ronaldo, dan Mexico bertemu di Kazan hari ini, dengan perlawanan Rusia seterusnya menentang Portugal di Moscow pada Rabu.

Perlawanan ini menawarkan Rusia peluang untuk mempamerkan kesediaan mereka bagi menghoskan Piala Dunia 2018 di tengah–tengah kebimbangan luar padang yang menyelubungi tindakan ganas dan keselamatan.

Smolov ketika menjaringkan gol kedua Rusia ke atas New Zealand dalam aksi pembukaan Piala Konfederasi bagi Kumpulan A. – AP
Smolov ketika menjaringkan gol kedua Rusia ke atas New Zealand dalam aksi pembukaan Piala Konfederasi bagi Kumpulan A. – AP

Tetapi ia juga peluang bagi jurulatih Stanislav Cherchesov dan pasukannya untuk menunjukkan apa yang mereka boleh lakukan di atas padang, walaupun mereka menghadapi ujian lebih besar dalam dua perlawanan mereka seterusnya berbanding yang diberikan New Zealand di sini.

“Saya suka pasukan New Zealand tetapi kami bernasib baik dapat mengekang kekuatan mereka dan mempamerkan permainan kami, dan ia adalah kunci untuk kememangan kami malam ini (semalam),” kata Cherchesov.

Stadium Krestovsyk lewat dalam pembukaan dan dengan bajet berlebihan, sementara masalah serius telah dialami bagi permukaan padang.

Tetapi venue itu, yang juga menghoskan perlawanan pada 2 Julai, mengharungi acara pembukaan tanpa masalah, walaupun terdapatnya sejumlah besar tempat duduk kosong. – AFP