Rusia tuntut tambahan pentas Artik

Rusia tuntut tambahan pentas Artik

MOSCOW, 5 Ogos (AFP) – Rusia mengemukakan tuntutan bagi tambahan 1.2 juta kilometer persegi kawasan pentas Artik kepada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), sekali gus meningkatkan persaingan bagi rantau tersebut yang kaya dengan hidrokarbon dan sumber galian lain.

Dalam tuntunan itu sebagai menyokong tuntutan pada 2001 yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Pengehadan Pentas Benua PBB, Rusia berkata penyelidikan menunjukkan ia mempunyai hak ke atas kawasan yang luas tersebut – yang saiznya sama dengan Afrika Selatan.

Ini akan termasuk Kutub Utara dan berpotensi memberikan Rusia akses kepada anggaran 4.9 bilion tan hidrokarbon, menurut anggaran kerajaan.

Artik menjadi pusat bagi persaingan tuntutan ke atas dasar laut yang dipercayai kaya dengan bahan galian, minyak dan gas.

Gambar fail bertarikh 21 April 2015 menunjukkan kapal penyelidik Norway ketika merentasi Lautan Artik, berhampiran Kutub Utara. – AFP
Gambar fail bertarikh 21 April 2015 menunjukkan kapal penyelidik Norway ketika merentasi Lautan Artik, berhampiran Kutub Utara. – AFP

Di bawah undang-undang antarabangsa, sesebuah negara mempunyai hak ekonomi eksklusif ke atas pentas benua dalam lingkungan 370 kilometer radius dari pantainya.

Bagaimanapun negara-negara Artik pula berhempas pulas untuk menuntut kawasan yang lebih luas.

Mereka didorong oleh pengecutan ais laut Artik, yang membuka potensi bagi laluan pengangkutan baru dan eksploitasi sumber galian dan tenaga.

Rusia berkata penyelidikan yang menyeluruh selama beberapa tahun membuktikan pentas benuanya semakin meluas melepasi radius 200 batu nautika.

ARTIKEL YANG SAMA