Rusia umum latihan tentera laut

Rusia umum latihan tentera laut

MOSCOW, 24 Sept (AFP) – Kementerian pertahanan Rusia hari ini mengatakan ia akan mengadakan latihan tentera laut di ‘Mediterranean timur’ pada September dan Oktober, ketika Barat bimbang berhubung peningkatan tentera Moscow di Syria.

Latihan itu termasuk tiga kapal perang dari Armada Laut Hitam Rusia, termasuk kapal pendaratan Saratov, kruiser peluru berpandu Moskva dan pemusnah Smetlivy, menurut kementerian dalam satu kenyataan.

Latihan itu akan melibatkan ’40 latihan kombat, termasuk roket dan tembakan artileri di laut dan sasaran udara,” menurut kenyataan tersebut.

Kementerian mengatakan latihan Mediterranean – yang dimulakan semula pada awal 2013 – telah dirancang sejak penghujung tahun lepas dan tidak mengaitkannya dengan konflik di Syria.

Amerika Syarikat telah menuduh Moscow menghantar tentera, kereta kebal dan jet pejuang ke Syria beberapa minggu kebelakangan, mencetuskan kebimbangan yang Rusia mungkin bersiap sedia untuk menyertai sama menentang di samping sekutu lamanya, Presiden Bashar al-Assad.

Pegawai Syria mengatakan awal minggu ini yang mereka telah menerima pesawat perang baru dan peluru berpandu sofistikated dari Rusia dan beberapa laporan di Rusia mengatakan Moscow telah menghantar tentera ke negara yang dilanda perang itu.

Dalam satu temu bual bersama agensi berita Interfax, duta Syria ke Rusia, Riad Haddad mengatakan sokongan Rusia di lapangan ‘akan berlaku jika ia diperlukan’.

“Bantuan Rusia akan membantu Syria akhirnya untuk menang menentang kumpulan pengganas,” katanya, menambah bahawa terdapatnya ‘tahap kerjasama yang tinggi’ antara Syria, Rusia dan Iran dalam konflik tersebut.

Rusia secara rasminya memaklumkan lapangan terbang di Cyprus awal bulan ini menerusi penguatkuasaan penerbangan antarabangsa untuk mengalihkan pesawat udara dari kawasan antara pelabuhan Tartus, Syria, di mana Rusia memiliki sebuah kemudahan tentera laut.

Kementerian secara berasingan turut menambah, kruiser Moskva, yang menjadi kemegahan Armada Laut Hitam, telah meninggalkan pangkalannya di Crimea hari ini dan kini menuju bagi menyertai latihan berkenaan.