Rusia umum pemotongan bajet baru

Rusia umum pemotongan bajet baru

MOSCOW, 14 Jan (AFP) – Russia merancang mengurangkan perbelanjaan bajet sebanyak 10 peratus tahun ini ekoran kejatuhan harga minyak dengan Perdana Menterinya, Dmitry Medvedev menegaskan negara itu perlu “hidup mengikut kemampuan”.

Langkah penjimatan hadir selepas harga minyak, eksport komoditi utama Russia yang berlegar sekitar AS$30 setong dan dengan kemerosotan ekonomi disebabkan kebimbangan menjelang pilihan raya Parlimen, tahun ini.

“Prinsip asas dasar perlu dikekalkan: seseorang perlu hidup mengikut kemampuan termasuk mengurangkan perbelanjaan bajet,” kata Medvedev pada persidangan ekonomi di Moscow.

Beliau mengakui bahawa tahun 2015 adalah “mungkin yang paling sukar dalam dekad yang lalu” untuk Russia. “Ia agak lama sejak ekonomi kita terjejas dengan cabaran besar dan serentak,” katanya dengan merujuk kepada harga minyak dan sekatan ke atas Russia berhubung peranannya dalam konflik di Ukraine.

Bercakap pada majlis sama, Menteri Kewangan, Anton Siluanov, berkata kerajaan akan mengurangkan perbelanjaan bajet sebanyak 10 peratus tahun ini dan memberi amaran bahawa kegagalan untuk mengurangkan bajet akan memberi impak besar ke atas rakyat Russia.

Dmitry Medvedev berucap pada sesi Forum Gaidar 2016 di Moscow. – Reuters
Dmitry Medvedev berucap pada sesi Forum Gaidar 2016 di Moscow. – Reuters

“Kami bersetuju bahawa kementerian dan agensi (kerajaan)….akan mengemukakan cadangan kepada kementerian kewangan bagi mengoptimumkan perbelanjaan bajet sebanyak sekitar 10 peratus,” kata Siluanov mengesahkan laporan awal berhubung perkara itu.

“Jika kerajaan gagal memulakan langkah penjimatan, perkara sama akan berlaku pada tahun 1998-1999 dengan rakyat membayar inflasi ekoran kegagalan kami dalam menghubungkaitkan bajet dengan realiti baharu,” katanya yang merujuk kepada krisis ekonomi sebelum ini yang menyebabkan Russia gagal membayar hutangnya.

Bajet 2016 Russia – lebih separuh bergantung kepada pendapatan eksport minyak dan gas – adalah berdasarkan harga minyak AS$50 setong dan defisit tiga peratus, yang mana Presiden, Vladimir Putin mengarahkan ia tidak boleh lebih daripada itu.

ARTIKEL YANG SAMA