Russia mula siasat kes doping atlet Olimpik

Russia mula siasat kes doping atlet Olimpik

MOSCOW, 20 Mei (AFP) – Pendakwaraya Russia sudah melancarkan siasatan terhadap dakwaan penggunaan doping oleh atlet Russia pada Sukan Olimpik, kata pihak berkuasa semalam.

Pengumuman itu datang selepas Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) mengumumkan 31 atlet gagal ujian doping susulan ujian sampel baharu yang diambil daripada Olimpik Beijing 2008.

The New York Times minggu ini melaporkan pendakwaraya Amerika Syarikat (AS) juga sudah melancarkan siasatan jenayah mereka sendiri berikutan dakwaan doping terhadap atlet Russia.

Pendakwaraya awam Russia berkata jabatan itu bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang, kementerian sukan dan Jawatankuasa Olimpik Russia untuk “menyiasat maklumat diterbitkan oleh media dan Agensi Anti Doping Dunia (WADA) mengenai penggunaan doping dalam kalangan atlet Rusia di Beijing, London dan Olimpik Sochi.”

“Kami merancang untuk membuat permintaan terhadap maklumat kepada pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan di beberapa negara lain, yang berada dalam bidang kerjasama undang-undang antarabangsa, selain pertukaran maklumat mengenai dakwaan penggunaan doping.”

WADA juga akan diminta untuk mengemukakan maklumat. Jawatankuasa penyiasatan kerajaan turut mengendalikan “pemeriksaan pra-siasatan” mengenai dakwaan “pelanggaran peraturan sistematik anti-doping,” kata jurucakapnya, Vladimir Markin.

“Kami sedang menyiasat maklumat yang diterbitkan dalam beberapa artikel yang dipetik dari Grigory Rodchenkov, bekas pekerja Makmal Anti-Doping Moscow, dan Vitaly Stepanov, bekas pekerja Agensi Anti-Doping Russia (RUSADA),” kata jurucakap itu.

ARTIKEL YANG SAMA