Russia, Poland, Austria semakin ‘panas’

Russia, Poland, Austria semakin ‘panas’

PARIS, 27 Mac (AFP) – Russia, Poland dan Austria semuanya meningkatkan persediaan untuk Euro 2016 di Perancis pada musim panas ini selepas meraih kemenangan dalam perlawanan persahabatan antarabangsa, awal pagi tadi.

Russia, yang akan berdepan England pada perlawanan pembukaan kejohanan Eropah itu, mencipta kemenangan 3-0 ke atas Lithuania di Moscow hasil jaringan Fedor Smolov, Aleksandr Golovin dan Denis Glushakov.

Poland yang diundi bersama juara dunia, Jerman turut mendapat tonik terbaik selepas membelasah Finland 5-0 di Wroclaw yang menyaksikan pemain tengah, Rennes Kamil Grosicki dan pemain sayap Verona, Pawel Wszolek masing-masing menyumbang dua gol manakala Filip Starzynski menjaringkan satu gol.

Aksi Smolov ketika menentang Lithuania di Stadium Otkrytie Arena. - Reuters
Aksi Smolov ketika menentang Lithuania di Stadium Otkrytie Arena. – Reuters
Aksi Marc Janko ketika menjaringkan gol ketika menentang Albania. – Reuters
Aksi Marc Janko ketika menjaringkan gol ketika menentang Albania. – Reuters

Di Vienna, Austria yang dibimbing Marcel Koller mengatasi Albania 2-1 dalam perjalanan mereka menuju ke kejohanan utama buat kali pertama dengan jaringan yang dihasilkan menerusi Marc Janko dan Martin Harnik.

Sementara itu, Hungary yang juga dalam perjalanan ke Perancis pada Jun depan meraih keputusan seri 1-1 berdepan Croatia selepas jaringan Balazs Dzsudzsak 11 minit sebelum tamat perlawanan menyamakan gol awal Mario Mandzukic pada minit ke-29.