Rustawi dibenarkan ikat jamin

Rustawi dibenarkan ikat jamin

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 Jun – Seorang warga Indonesia yang berdepan pertuduhan membawa bahan peluru dalam pesawat Penerbangan Diraja Brunei dibenarkan diikat jamin $15,000 atau seorang penjamin tempatan oleh Mahkamah Majistret, hari ini.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membenarkan ikat jamin itu selepas mendengar Peguam Rozaiman Rahman yang mewakili Rustawi Tomo Kabul, 63, mengemukakan syarat-syarat ikat jamin iaitu Kedutaan Indonesia di Brunei Darussalam akan memberi perlindungan kepada tertuduh termasuk memastikannya hadir ke mahkamah pada tarikh perbicaraan dan pasport tertuduh akan ditahan oleh Pasukan Polis Diraja Brunei.

Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Suzana binti Pengiran Haji Abas berkata pihak pendakwaan tidak membantah jika mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin.

Timbalan Pendakwa Raya juga memberitahu mahkamah bahawa sehingga ini, pihak polis masih menunggu kebenaran daripada Jabatan Penerbangan Awam untuk menghantar bahan peluru itu ke makmal di Singapura untuk dianalisis.

Timbalan Pendakwa Raya juga memohon supaya kes disebut dalam dua minggu lagi, dan Ketua Majistret menetapkan 22 Jun untuk sebutan semula.

Pada 2 Mei lalu, Rustawi Tomo Kabul, didakwa memiliki beberapa bahan peluru ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira jam 11:19 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi bersama kumpulan jemaah umrah yang lain.

Tertuduh telah ditahan selepas pihak lapangan terbang mengimbas bagasi yang dibawanya dan mendapati imej yang mencurigakan.

Tertuduh berdepan hukuman penjara 15 tahun dan sebat jika sabit bersalah.

ARTIKEL YANG SAMA