Rustawi tidak dibenarkan balik beraya

Rustawi tidak dibenarkan balik beraya

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Jun – Mahkamah Majistret, hari ini, menolak permohonan seorang lelaki Indonesia yang menghadapi pertuduhan membawa bahan peluru dalam Penerbangan Diraja Brunei pada Mei lalu, untuk pulang ke negaranya bagi menyambut hari lebaran bersama keluarganya.

Rustawi Tomo Kabul, 63, didakwa memiliki beberapa bahan peluru ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei kira-kira jam 11:19 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi bersama kumpulan jemaah umrah yang lain pada 2 Mei 2015.

Tertuduh ditahan selepas pihak lapangan terbang mengimbas bagasi yang dibawanya dan mendapati terdapat imej yang mencurigakan.

Terdahulu, Peguam Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abdul Rahman yang mewakili tertuduh memohon mahkamah bagi ikat jamin anak guamnya diubah untuk pasport dikembalikan bagi membolehkan tertuduh menyambut hari lebaran bersama keluarganya.

Permohonan itu bagaimanapun mendapat bantahan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Pengiran Suzana binti Pengiran Haji Abas dengan menyatakan risiko tinggi yang mana tertuduh boleh sahaja menghilangkan diri tambahan lagi tertuduh tidak mempunyai kepentingan bersama dengan Brunei Darussalam.

Timbalan Pendakwa Raya juga memberitahu mahkamah bahawa analisis masih diperlukan meskipun pihak polis telah memanggil konsultan untuk memeriksa bahan itu.

Konsultan telah memberikan pendapat mereka dengan mengatakan bahawa bahan itu mengandungi sebatian berbahaya dan perlu dianalisis di Singapura.

Timbalan Pendakwa Raya turut memberitahu mahkamah bahawa analisis seperti itu tidak boleh dilakukan di dalam negara kerana kekurangan bahan peralatan analisa.

Tambahan lagi, belum ada keputusan dibuat oleh Jabatan Penerbangan Awam berhubung mod pengangkutan untuk membawa bahan itu ke Singapura,” kata Timbalan Pendakwa Raya.

Ketua Majistret, Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli yang menolak permohonan pasport dikembalikan itu bagaimanapun melanjutkan syarat ikat jamin tertuduh yang sedia ada.

“Kesalahan yang dilakukan oleh tertuduh adalah amat serius meskipun ia belum terbukti terhadap tertuduh,” kata Ketua Majistret sambil menetapkan 6 Julai untuk sebutan semula.

ARTIKEL YANG SAMA