Rustawi tidak terlepas daripada pertuduhan

Rustawi tidak terlepas daripada pertuduhan

Oleh Rafidah Jumat

 

pg06_150706_mahkamah logo2BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Mahkamah Majistret di sini, hari ini, menggugurkan tuduhan ke atas seorang lelaki Indonesia yang berdepan kesalahan membawa bahan peluru dalam pesawat Penerbangan Diraja Brunei pada Mei lalu.

Ketua Majistret Muhammad Faisal bin PDJLD DSP Haji Kefli membebaskan Rustawi Tomo Kabul, 63, namun tidak melepaskannya daripada pertuduhan selepas Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Norsuzanawati binti Pengiran Abas memasukkan notis menggunakan Nolle Prosequi (hentikan pendakwaan).

Timbalan Pendakwa Raya memasukkan notis itu terhadap tertuduh yang sebelum ini didakwa pada 4 Mei 2015 kerana memiliki beberapa bahan peluru tanpa lesen ketika transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei pada 2 Mei 2015 kira-kira jam 11:19 pagi sebelum meneruskan perjalanan ke Arab Saudi bersama kumpulan jemaah umrah yang lain.

Timbalan Pendakwa Raya dalam notis hentikan pendakwaan memaklumkan mahkamah bahawa keputusan siasatan oleh pihak berkuasa dengan kerjasama pihak penguat kuasa Republik Indonesia tidak menemui sebarang bukti yang menunjukkan bahawa tertuduh terlibat dalam sebarang kegiatan jenayah.

Siasatan turut membuat kesimpulan bahawa tertuduh tidak mempunyai kaitan dengan ISIS atau mana-mana kumpulan pengganas atau organisasi.

Nolle Prosequi, yang boleh dikeluarkan oleh Pendakwa Raya mengikut Seksyen 377 Kanun Prosedur Jenayah, Penggal 7, menyatakan bahawa dalam mana-mana kes jenayah sebelum penghakiman, Pendakwa Raya boleh memaklumkan mahkamah bahawa prosiding perlu dihentikan.

Bagaimanapun Nolle Prosequi tidak membawa kepada satu pembebasan, dan Pendakwa Raya boleh memulakan semula prosiding jika bukti baru ditemui.

Tertuduh diwakili oleh Peguam Bela Haji Mohd Rozaiman bin DSLJ Haji Abd Rahman.

ARTIKEL YANG SAMA