SAB lulus 100% PSR

SAB lulus 100% PSR

Oleh Hajah Saemah Kepli

KUALA BELAIT, 7 Jan – Pada 2015, Sekolah Arab Belait (SAB) sekali lagi telah mencapai keputusan keseluruhan 100 peratus lulus dalam peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR), dengan lapan orang pelajar memperoleh 5A bagi semua mata pelajaran dan tujuh mendapat 4A 1B serta mencapai gred A-C bagi pelajar lulus lainnya.

Guru Besar (SAB), Hajah Noramalina binti Haji Mohd Ali menyatakan, sekolah itu telah mencapai 94 peratus iaitu melebihi sasaran 79 peratus Kementerian Pendidikan, dan menurutnya bermula tahun 2006 iaitu kali pertama bagi pelajar-pelajar sekolah itu menduduki peperiksaan PSR sehingga kini pencapaian keputusan telah dapat dipertahankan ke tahap 100 peratus lulus.

Berucap selaku tetamu kehormat pada Majlis Penyampaian Hadiah Pelajar Cemerlang PSR yang mendapat 5A dan 4A 1B bagi Tahun 1436H/2015M yang diadakan di surau sekolah tersebut hari ini, beliau juga berkata, keputusan cemerlang yang diperoleh adalah atas kerjasama erat di antara guru-guru, ibu bapa dan para pelajar dengan memberikan bimbingan dan panduan kepada pelajar supaya sentiasa tekun dalam menghadapi pembelajaran sebagai persediaan sebelum menghadapi peperiksaan.

“Selain itu, motivasi berterusan turut diberikan kepada para pelajar sekolah, bagi menyuntik semangat mereka untuk terus berusaha dengan gigih demi mencapai kejayaan yang dicita-citakan, dan kami berharap keputusan cemerlang akan dapat dikekalkan pada peperiksaan PSR yang mendatang,” katanya.

Pelajar cemerlang SAB yang mendapat keputusan 4A 1B dalam PSR.
Pelajar cemerlang SAB yang mendapat keputusan 4A 1B dalam PSR.

Beliau turut mengingatkan para pelajar untuk meletakkan pembelajaran Al-Quran di tahap yang paling utama, kerana katanya, jika kita dapat menguasai ilmu-ilmu yang terdapat dalam Al-Quran maka kita akan mudah dapat menguasai semua bidang ilmu yang dipelajari.

“Oleh yang demikian saya menyeru kepada para pelajar untuk sentiasa mendampingi Al-Quran dan mengamalkan apa yang terkandung di dalamnya, semoga dengan ilmu yang diperolehi melalui pembacaan Al-Quran kita akan sentiasa mendapat rahmat dan perlindungan daripada Allah S.W.T,” tambah beliau.

Majlis telah menyaksikan penyampaian hadiah pelajar cemerlang yang mendapat keputusan 5A kepada seramai lapan orang dan 4A 1B seramai tujuh orang, seterusnya penyampaian hadiah pelajar terbaik keseluruhan setiap subjek peperiksaan PSR dan hadiah galakan bagi setiap subjek kepada 52 orang pelajar yang telah disempurnakan oleh Hajah Noramalina.

Majlis turut diceriakan dengan persembahan Nasyid ‘Ya Rasulullah’ oleh pelajar perempuan Tahun 8.

ARTIKEL YANG SAMA