Sabah akan miliki pusat perkhidmatan pensterilan pertama

Sabah akan miliki pusat perkhidmatan pensterilan pertama

KOTA KINABALU, 21 Sept (Bernama) – Warisan Harta Sabah Sdn Bhd (WHSSB) dan Sina-Sterilgamma Sdn Bhd bekerjasama untuk menubuhkan pusat perkhidmatan pensterilan bertauliah (CSS) milik swasta pertama di Sabah.

Ketua Pegawai Eksekutif WHSSB, Datuk Abu Bakar Abas berkata, pusat bernilai RM6 juta di Taman Perindustrian Kota Kinabalu itu akan mula beroperasi pada suku kedua tahun depan.

“Kami berharap ia akan menjadi pendorong untuk industri baharu di Sabah memberi tumpuan kepada perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan di mana usahawan mampu meneroka pelbagai peluang dalam penyediaan pembungkusan steril.

“Ketika ini, Sabah bergantung kepada import barangan steril dari Semenanjung Malaysia,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian usaha sama itu di sini, pada Isnin. Abu Bakar berkata, pusat itu juga akan menawarkan program latihan meningkatkan kemahiran untuk mana-mana kakitangan CSS hospital kerajaan dan swasta.

“Ini akan meningkatkan lagi sumbangan kepada pembinaan kompetensi yang diperlukan atau modal insan berkemahiran yang diperlukan untuk menyokong pertumbuhan industri perkhidmatan sokongan penjagaan kesihatan yang baharu,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA