Sabah akan siasat oportunis guna penduduk kampung

Sabah akan siasat oportunis guna penduduk kampung

KOTA KINABALU, 10 Ogos – Kerajaan Sabah akan menyiasat golongan oportunis yangmenggunakan penduduk kampung untuk mendapatkan tanah menerusi permohonan geran tanah komunal.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman berkata golongan tidak bertanggungjawab itu akan berdepan tindakan tegas jika didapati mengeksploitasi penduduk tempatan dengan cara tersebut.

“Saya minta Jabatan Perhutanan dan Jabatan Tanah dan Ukur Sabah untukmenyiasat lanjut supaya perkara ini tidak akan berlaku.

“Kerajaan hanya akan memberi keutamaan kepada penduduk tempatan. Tetapi kita tidak mahu orang yang sama berulang kali memohon tanah atau orang luar yang tiada kena mengena dengan tempat itu,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini hari ini.

Beliau mengulas isu pihak tertentu yang mengambil kesempatan atas penduduk tempatan untuk mendapatkan tanah daripada kerajaan negeri.

Musa berkata pemberian tanah komunal hanya diberikan kepada rakyattempatanyang dikenalpasti telah menetap lama di sesuatu kawasan atau belum memiliki tanah sendiri.

Katanya, langkah kerajaan negeri menukar status sebahagian hutan simpan kepada tanah komunal bertujuan memberikan peluang kepada penduduk tempatan memiliki tanah sendiri. – Bernama