Sabah catat 110 kes jenayah rogol

Sabah catat 110 kes jenayah rogol

TAWAU, 7 Sept (Bernama) – Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, sebanyak 110 kes pendakwaan jenayah rogol direkodkan di Sabah berbanding 223 kes bagi tempoh sama tahun lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata bagi jenayah melibatkan penderaan kanak-kanak pula, bagi tempoh sama terdapat tujuh kes, yang mencatatkan penurunan berbanding 19 kes tahun lepas.

“Statistik itu menunjukkan pihak kerajaan memandang serius jenayah yang melibatkan kanak-kanak dan wanita di Sabah,” katanya ketika berucap merasmikan Seminar Mengenai Hak dan Isu-Isu Wanita dan Kanak-kanak, di sini hari ini.

Nancy berkata kerajaan melalui Jabatan Peguam Negara Cawangan Sabah telah mengambil tindakan sewajarnya dalam memastikan hak dan kepentingan wanita dan kanak-kanak sentiasa terpelihara dengan mengambil tindakan penguatkuasaan undang-undang.

Katanya kerajaan telah melakukan beberapa inisiatif termasuk memastikan undang-undang di Malaysia sentiasa relevan serta menepati keperluan semasa melalui usaha pembaharuan yang dibuat secara objektif dan berterusan.

Nancy berkata dalam usaha itu pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan pihak-pihak berkenaan bagi mencari jalan terbaik dalam melakukan penambahbaikan terhadap undang-undang berkaitan wanita dan kanak-kanak.

“Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji kemungkinan untuk meminda dan meluaskan definisi rogol yang sedia ada di bawah Seksyen 375 Kanun Keseksaan dengan mengambil kira perbuatan-perbuatan lain seperti memasukkan objek atau organ-organ lain, selain daripada organ kemaluan,” katanya.