Sabah catat kemasukan FDI RM257.3j

Sabah catat kemasukan FDI RM257.3j

KOTA KINABALU, 21 April – Sektor perindustrian Sabah menerima pelaburan langsung asing (FDI) dari Australia, Korea dan United Kingdom sebanyak RM257.3 juta pada tahun lepas.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian Negeri Datuk Bolkiah Ismail berkata FDI dari Australia adalah sebanyak RM239.1 juta, Korea (RM14.9 juta) dan United Kingdom (RM3.3 juta).

“Industri mesin dan perkakasan adalah penyumbang terbesar melibatkan jumlah pelaburan sebanyak RM239.1 juta dikuti industri makanan (RM9.9 juta), industri perkayuan (RM5.0 juta) dan industri kertas dan percetakan sebanyak RM3.3 juta.

“Walaupun berdepan suasana ekonomi global kurang memberangsangkan serta aliran kejatuhan harga minyak dan komoditi ladang, Sabah masih mampu terus menarik pelabur asing,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri, Datuk Raymond Tan, menjawab soalan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-Kuala Penyu, Limus Jury pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Khamis.

Bolkiah berkata, pelabur Poland, United Kingdom, Belanda, Indonesia, Korea Selatan, China dan Amerika Syarikat turut berminat menimbang potensi Sabah sebagai destinasi pelaburan, khususnya di taman perindustrian di bawah Kementerian Pembangunan Perindustrian (KPP) seperti Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Kluster Industri Minyak Sawit (POIC) dan kawasan perindustrian minyak dan gas (o&g) Sipitang (SOGIP).

“Industri itu merangkumi aktiviti pemprosesan O&G) dan pemprosesan biomas berasaskan minyak sawit yang dianggarkan mampu menjana nilai FDI sebanyak sebanyak RM2.95 bilion,” katanya. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA