Sabah dan Sarawak destinasi jelajah IJN 2018

GEORGE TOWN, 23 Feb – Institut Jantung Negara (IJN) berhasrat meluaskan penganjuran program jelajah berbasikal ‘My Heart My Life’ ke Sabah dan Sarawak pada edisi tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub berkata program tahunan yang dianjurkan sejak 2015 itu akan diteruskan dengan liputan lebih meluas terutamanya kawasan pedalaman dan luar bandar.

Pada masa ini, jelajah berbasikal yang bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap amalan gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit jantung itu hanya melibatkan kawasan Semenanjung.

Katanya sambutan yang diterima amat memberangsangkan dan ini menaikkan semangat warga IJN untuk terus mengadakan aktiviti seumpamanya di luar Semenanjung.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub menerima sumbangan untuk Yayasan IJN daripada Pengurus Besar Federal Oats Mills, Pulau Pinang, Tan Kim Choo pada Program Lawatan Konvoi Berbasikal IJN Cardiac Cycling di Kampung Naran, Batu Maung kelmarin. – Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Institut Jantung Negara (IJN) Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub menerima sumbangan untuk Yayasan IJN daripada Pengurus Besar Federal Oats Mills, Pulau Pinang, Tan Kim Choo pada Program Lawatan Konvoi Berbasikal IJN Cardiac Cycling di Kampung Naran, Batu Maung kelmarin. – Bernama

“Aktiviti ini dilihat berjaya mempromosi Yayasan IJN sebagai satu organisasi tidak berasaskan keuntungan yang ditubuhkan bagi membantu pesakit kurang berkemampuan mendapatkan rawatan di IJN,” katanya kepada pemberita di pekarangan Hard Rock Hotel Penang, di sini hari ini sebelum memulakan kayuhan jelajah berbasikal My Heart My Life 2017.

Pasukan jelajah berbasikal seramai 13 orang itu akan bergerak dari sini menuju ke destinasi program seterusnya di Kupang, Kedah, sebelum menuju Tasik Banding, Gerik, Perak dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Kuala Kangsar meliputi jarak keseluruhan 360 kilometer. – Bernama