Sabah julang Piala Agong

Sabah julang Piala Agong

PETALING JAYA, 4 Okt (Bernama) – Juara bertahan, Sabah mengekalkan status sebagai pasukan ragbi terbaik negara apabila menewaskan Perak 28-16 pada perlawanan akhir Piala Agong 2015 kelmarin.

Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, pasukan Sabah mengumpul 28 mata selepas berjaya melakukan empat ‘try’, satu ‘conversion’ dan dua penalti.

Pada perlawanan sengit itu, Sabah mendahului Perak 10-6 pada separuh masa pertama sebelum Perak bangkit mengutip 10 mata menerusi ‘try’ Mohd Amir Hadafi Mat Saad pada minit ke-40 dan Mohamad Taufiq Mohd Noor pada minit ke-74.

Namun, Sabah berjaya mengekang kemaraan Perak itu melalui ‘try’ oleh Badrul Musa @Muktee pada minit ke-44, Serupepeli Naqasima (minit ke-71) dan Wan Azuan Amat (80’) selain penalti daripada kapten pasukan, Orene A’ii pada minit ke-70.

Jurulatih Sabah, Bradley Moni Mika berkata kesilapan yang dilakukan oleh pemain pada separuh masa pertama hampir menghukum pasukan berkenaan.

Pasukan ragbi Sabah ketika menjulang Piala Agong 2015. – Bernama
Pasukan ragbi Sabah ketika menjulang Piala Agong 2015. – Bernama

“Kami melakukan beberapa kesilapan pada separuh masa pertama, sehingga memberi peluang kepada lawan mengimbangi perlawanan. Namun, kami berjaya mengatasi kesilapan tersebut selepas itu.

“Menjuarai kejohanan berkenaan berturut-turut sesuatu yang hebat bagi kami,” kata jurulatih Sabah berasal dari New Zealand itu.

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Tunku Panglima Besar Kedah Tunku Puteri Intan Shafinaz Sultan Abdul Halim, berkenan menyampaikan hadiah berbentuk piala dan pingat kepada kedua-dua pasukan.

Turut hadir menyaksikan perlawanan itu ialah Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Terdahulu, dalam aksi penentuan tempat ketiga-keempat, Terengganu menewaskan juara 2013, Johor 40-18.

ARTIKEL YANG SAMA