Sabah komited tingkat pendidikan tinggi

Sabah komited tingkat pendidikan tinggi

KOTA KINABALU, 3 Sept (Bernama) – Kerajaan negeri kekal komited dan bekerjasama dalam membantu segala usaha ke arah kemajuan dan peningkatan tahap pendidikan tinggi negara, khususnya di Sabah, kata Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Beliau berkata sejak penubuhan Universiti Malaysia Sabah (UMS), pembangunan dan kemajuan negeri ini telah bergerak seiring terutama dalam menampung keperluan ekonomi dan sosial pelajar.

“Kesan positifnya juga telah memberi nilai tambah dari segi pembangunan modal insan, peningkatan taraf hidup dan ekonomi masyarakat sekitarnya.

“Pendek kata, UMS telah menjana satu transformasi pembangunan pesat dalam tempoh yang sangat pantas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Lafaz Ikrar dan Aku Janji seramai 4,481 mahasiswa baharu UMS bagi sesi 2015/2016 di Dewan Canselor universiti itu di sini hari ini.

Sambil mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua mahasiswa, Musa yang juga Pro Canselor UMS berpesan supaya mereka mematuhi segala peraturan kampus, mendahulukan tanggungjawab sebagai pelajar dan berusaha dengan gigih menjadi insan cemerlang.

Sementara itu, bersempena sambutan Hari Malaysia pada 16 Sept ini, Ketua Menteri mengajak mahasiswa bersama-sama memelihara kemerdekaan, kedaulatan dan kemakmuran yang dikecapi negara selama ini.

“Hargailah nikmat ini sepenuhnya kerana siswa dan siswi yang ada ini merupakan generasi yang akan mewarisi dan meneruskan kesinambungan kestabilan, keamanan dan kesejahteraan Malaysia yang kita cintai,” katanya.

Tambah beliau, kesejahteraan dan kejayaan negara tidak datang dengan mudah kerana itu merupakan hasil pelaksanaan dasar dan program pembangunan kerajaan, penglibatan sektor swasta dan sokongan padu rakyat.