Sabah, Labuan bergelap

Sabah, Labuan bergelap

LABUAN, 1 Mei (Bernama) – Labuan dan lima daerah di Sabah mengalami gangguan bekalan elektrik sejak 12.43 tengah hari ini dan setakat 5.30 petang ini, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) masih berusaha untuk memulihkan bekalan.

Jurucakap SESB dalam kenyataan kepada Bernama mengesahkan bahawa gangguan bekalan berlaku selama dua jam melibatkan daerah Pantai Barat Sabah iaitu Keningau, Tenom, Tambunan, Sipitang dan Kuala Penyu.

“Bekalan elektrik pulih pada 2.07 petang di semua kawasan di kelima-lima daerah kecuali di Labuan yang kembali pulih secara berperingkat mulai 3.38 petang,” katanya.

Beliau berkata siasatan awal SESB mendapati talian transmisi 132kv Beaufort-Lansat dan talian transmisi 132kv Beaufort-Papar menghubungkan grid selatan Sabah telah dipanah petir dan menyebabkan gangguan bekalan.

“Kami berharap bekalan tenaga di seluruh Labuan dapatdipulihkan dalam masa beberapa jam akan datang,” katanya.

Semua stesen minyak di sini menutup operasi disebabkan gangguan bekalan elektrik dan kenderaan kelihatan berbaris panjang menunggu bekalan elektrik pulih untuk mengisi minyak.

Dua hospital kerajaan terpaksa menggunakan generator sokongan untuk terus beroperasi.

“Tetapi mujurlah tidak ramai pesakit yang perlu diberirawatan dan tiadapembedahan perlu dijalankan ketika ini,” kata seorang jururawat.