Sabah perlu buat penyelidikan populasi jerung, pari

Sabah perlu buat penyelidikan populasi jerung, pari

KOTA KINABALU, 29 Mac (Bernama) – Persatuan Perlindungan Jerung Sabah berharap Sabah dan penyelidik antarabangsa akan membuat penyelidikan mengenai populasi jerung dan pari yang masih terdapat di negeri ini serta merangka satu pelan bersifat lestari dan memandang jauh ke hadapan.

Presidennya, Aderick Chong berkata kajian itu perlu memberi fokus terhadap aspek ekologi dan sosial dalam perniagaan jerung bagi menilai kemerosotan jumlah spesies dan bagaimana pengharaman penangkapan serta perniagaan jerung akan menjejaskan kehidupan nelayan tempatan.

“Kajian itu juga boleh mengesyorkan satu pelan mitigasi berserta sumber rezeki lestari alternatif untuk nelayan, yang sememangnya boleh dilaksanakan berikutan kewujudan industri menyelam yang sihat di Sabah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Chong tidak menafikan terdapat aktiviti penangkapan jerung dan pari ketika ini dengan wujudnya bukti kukuh mengenainya, yang jauh lebih banyak daripada yang dilaporkan.

“Setiap hari, banyak spesies jerung dan pari dijual di pasar basah di negeri ini, tanpa sisip dan sisir insangnya, manakala isinya pula dijual pada harga sekitar RM5 sekilogram,” kata beliau.

Chong berkata aktiviti penangkapan ikan seperti itu akan memberi kesan buruk terhadap kehidupan rakyat tempatan berikutan kerosakan ekosistem marin yang menjadi tempat bergantung berjuta-juta orang bagi mencari rezeki.