Sabah: Persempadanan semula awal tahun depan

Sabah: Persempadanan semula awal tahun depan

PORT DICKSON, 6 Dis – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijadual melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya di Sabah awal tahun depan.

Menyatakan demikian, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata ini akan diikuti dengan persempadanan semula di negeri-negeri di Semenanjung. Persempadanan semula di Sarawak telah selesai.

Berikutan itu, Dewan Rakyat pada 2 Disember lepas meluluskan usul Persempadanan Semula Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri bagi negeri itu yang menyaksikan pertambahan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ketika ini, Sarawak mempunyai 71 kerusi DUN.

Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan tanda bagus ketika melawat kaunter bergerak sempena perasmian Karavan SPR pada Program Singgah Mesra SPR di Perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Kepong semalam. Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah (kanan).  - Bernama
Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menunjukkan tanda bagus ketika melawat kaunter bergerak sempena perasmian Karavan SPR pada Program Singgah Mesra SPR di Perkampungan Orang Asli Kampung Bukit Kepong semalam. Turut hadir timbalannya, Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah (kanan). – Bernama

“Kita belajar banyak daripada pengalaman membuat persempadanan semula Sarawak dan kita akan menggunakan pengalaman itu untuk Sabah dan Semenanjung. Sasaran kita adalah untuk menggunakan persempadanan semula ini pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.

Abdul Aziz bercakap pada sidang media selepas program Singgah Mesra SPR di perkampungan Orang Asli Bukit Kepong, Pasir Panjang dekat sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengerusi SPR Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dan Setiausaha SPR Datuk Abdul Ghani Salleh.

Abdul Aziz berkata persempadanan semula ini adalah satu proses yang rumit kerana terdapat banyak ‘gangguan’ oleh pihak-pihak tertentu sehingga SPR dibawa ke mahkamah.  – Bernama