Sabah punyai banyak sumber berita untuk wartawan

Sabah punyai banyak sumber berita untuk wartawan

KOTA KINABALU, 15 Ogos – Sabah mempunyai banyak sumber berita berpotensi untuk wartawan, khususnya dalam pelancongan, alam sekitar dan pemuliharaan hidupan liar, kata wartawan berpengalaman daripada Amerika Syarikat, Joan Mower.

Mower, yang juga pengarah Pembangunan dan Latihan Media Antarabangsa, Lembaga Penyiaran Amerika Syarikat, berkata dalam industri pelancongan, selain mempromosikan tarikan-tarikan di Sabah, wartawan juga berada dalam kedudukan baik untuk membantu negeri menjana pertumbuhan ekonomi.

Dalam aspek pemuliharaan alam sekitar, katanya tumpuan boleh diberikan kepada tarikan hidupan liar yang mungkin dapat menggandakan kedatangan pelancong ke Sabah.

“Bagi wartawan, sumber berita di Sabah boleh dijana daripada alam sekitar, pelancongan dan pembangunan,” katanya kepada Bernama pada bengkel ‘Membina Kaedah Bagi Laporan Berita Yang Baik”, di sini, semalam.

Bengkel tiga hari berakhir pada Ahad itu dianjurkan Kelab Akhbar Malaysia dengan kerjasama Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. Ia meliputi pelbagai topik, antaranya Etika Dalam Media dan Prinsip Kewartawanan, Kewartawanan Penyiasatan dan Laporan Bencana. Mower berkata negeri seperti Sabah mempunyai banyak potensi dari segi pelancongan untuk menjana pertumbuhan ekonomi, seperti disebut oleh Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah Datuk Joniston Bangkuai, yang menyatakan Sabah bakal mempunyai tiga buah hotel baharu termasuk Marriott dan Hilton.

“Ibu pejabat kedua-dua hotel ini di Washington. Jadi dari segi perniagaan, itu merupakan berita perniagaan bagi penduduk Amerika,” katanya.

Mower ialah seorang daripada dua pengendali bengkel itu. Seorang lagi ialah Inna Dubinsky, pegawai pembangunan di Biro Penyiaran Antarabangsa Amerika, Pembangunan dan Latihan Media Antarabangsa.

Sebanyak 27 wartawan daripada pelbagai organisasi media di Sabah dan Sarawak menghadiri bengkel itu dengan wartawan veteran dan pengurus besar Bernama yang telah bersara Datuk Yong Soo Heong bertindak sebagai moderator. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA