Sabah sambut baik kerjasama dengan Huawei

Sabah sambut baik kerjasama dengan Huawei

KOTA KINABALU, 2 Mac (Bernama) – Sabah menyambut baik jalinan kerjasamanya dengan syarikat gergasi peralatan dan perkhidmatan telekomunikasi, Huawei yang dapat membantu pembangunan sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) negeri itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata kelebihan Huawei yang berpengalaman luas dan kehadirannya yang kian ketara di peringkat global, dapat memantapkan aspek kesalinghubungan serta teknologi komunikasi bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Biarpun Kerajaan Negeri sudah melaksanakan pelbagai usaha bagi pembangunan ICT di Sabah, namun banyak yang masih perlu dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, bersempena pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Huawei dan Kerajaan Negeri itu di Shenzen, China, pada Rabu.

MoU itu membolehkan Sabah mencapai sasaran sebagai hab ICT serantau serta negeri pintar.

Antara anggota Kabinet Sabah yang hadir pada majlis itu adalah Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Masidi Manjun, Menteri Tugas-tugas Khas Datuk Teo Chee Kang dan Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Datuk Siringan Gubat manakala Huawei diwakili Naib Presiden Kanan dan ahli Lembaga Pengarah Huawei Chen Lifang, Presiden Pemasaran Global Huawei Kelvin Zhang serta Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia Abraham Liu.

Musa yang juga Menteri Kewangan Negeri, turut memuji Huawei yang terbukti mencatat pelbagai pencapaian dalam bidang ICT sehingga muncul sebagai jenama dikenali serta selaku penggiat global.

“Sehubungan itu, saya yakin Sabah dapat memanfaatkan kolaborasi ini. Kami amat berminat dengan kepakaran Huawei mewujudkan bandar selamat menerusi pelaksanaan sistem keselamatan bersepadu,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA