Sabah, Sarawak miliki potensi besar perkembang biojisim

Sabah, Sarawak miliki potensi besar perkembang biojisim

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) – Sabah dan Sarawak yang meliputi 50 peratus daripada keluasan keseluruhan ladang kelapa sawit Malaysia, mempunyai potensi besar dalam memperkembang sektor biojisim, kata Agensi Inovasi Malaysia (AIM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mark Rozario berkata peserta industri wajar mengambil usaha yang luas untuk mempromosikan sektor, terutama dalam industri hiliran yang mempunyai sumber besar bahan suapan.

“Produk biojisim daripada sisa buangan kelapa sawit boleh dieksport ke beberapa negara yang menggunakannya sebagai sumber alternatif untuk tenaga.

“Ini akan memberi sedikit pendapatan kepada negara,” katanya dalam taklimat media mengenai Persidangan Biojisim Antarabangsa Malaysia 2015 yang akan diadakan pada 8 dan 9 Disember ini.

Persidangan dan pameran bertemakan ‘Being Local and Going Global: Sustainable Biomass Value Chains’, itu dianjur secara bersama oleh AIM dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).

Rozario berkata Malaysia telah menyasarkan sumbangan segmen biojisim kepada Pendapatan Negara Kasar yang mencecah sehingga RM30 bilion pada 2020.

Di bawah Strategi Biojisim Negara 2020, Malaysia telah menyasarkan untuk memaksimumkan lagi potensi sumber biojisim negara menerusi portfolio yang seimbang terhadap industri hiliran merangkumi biotenaga, bahan bakar bio yang maju, biokimia dan produk akhirnya.

Rozario berkata permintaan terhadap produk berkenaan datang daripada Korea Selatan, China dan juga Finland.