Sabah semak semula perjanjian Malaysia

Sabah semak semula perjanjian Malaysia

KOTA KINABALU, 14 Sept – Langkah untuk menyemak semula Perjanjian Malaysia yang berusia 53 tahun adalah satu tindakan untuk mengukuhkan negara, kata Menteri Belia dan Sukan Sabah Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan.

Beliau berkata ia juga menunjukkan kesediaan kerajaan untuk membina negara berdasarkan matlamat asalnya, di samping menamatkan rungutan daripada akar umbi.

“Kami agak gembira kerana kerajaan persekutuan terbuka kepada idea untuk mengkaji semula apakah hak-hak (rakyat) yang telah terhakis, atau belum dimasukkan (dalam Perlembagaan Persekutuan) atau mungkin telah terlepas pandang.

“Tiada siapa yang pernah menyatakan butir-butir (spesifik) hak rakyat (yang digariskan dalam Perjanjian Malaysia) dan saya fikir kita perlu merebut peluang untuk berbuat demikian menerusi jawatankuasa teknikal yang ditubuhkan untuk mengkaji perkara ini,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan (tiga kiri) ketika menghadiri sesi bual bicara tentang pembentukan Malaysia kelmarin. –  Bernama
Datuk Tawfiq Datuk Abu Bakar Titingan (tiga kiri) ketika menghadiri sesi bual bicara tentang pembentukan Malaysia kelmarin. – Bernama

Beliau berkata demikian selepas menjadi ahli panel dalam satu rancangan temu bual yang dirakam untuk program dalam talian ‘Airtime with Ronnie Klassen’, yang dijadualkan akan dimuat naik dalam laman Facebook program itu hari ini.

Pada Jun, satu jawatankuasa teknikal, yang dipengerusikan bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri dari Sarawak dan Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dari Sabah, ditubuhkan untuk mengkaji penurunan kuasa kepada kedua-dua kerajaan negeri itu.

Jawatankuasa itu akan mengenal pasti isu kegagalan pematuhan dalam konteks Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC), Perjanjian Malaysia 1963, Akta Malaysia 1963 dan Perlembagaan Persekutuan serta Laporan Suruhanjaya Cobbold, dan akan menyediakan syor serta penyelesaian untuk pertimbangan kerajaan persekutuan. – Bernama