Sabah timbang bina muzium baru

Sabah timbang bina muzium baru

KOTA KINABALU, 27 Julai (Bernama) – Kerajaan negeri akan mempertimbangkan pembinaan muzium baru di Sabah bagi membolehkan pelbagai khazanah warisan sejarah dan koleksi artifak bernilai tinggi negeri ini dipamerkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman berkata ini bagi menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke muzium untuk mendapatkan maklumat dan melihat koleksi sejarah Sabah yang dipamerkan.

“Bagaimanapun, pembinaan muzium baru ini tertakluk kepada keadaan kewangan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata ketika demikian ketika berucap melancarkan Sambutan Perayaan Jubli Emas Muzium Sabah di Kompleks Muzium Sabah di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. – Bernama
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman. – Bernama

Dalam pada itu, Musa mahu Muzium Sabah proaktif merintis pembangunan tapak bersejarah melalui kajian dan pendokumentasian, selain mempergiat kerjasama dengan pihak swasta bagi membangunkan kemudahan yang menarik pengunjung.

Di samping itu, kerajaan negeri juga berharap Muzium Sabah mampu membangunkan konsep pameran berteknologi canggih dan terkini termasuk menggunakan animasi yang mampu memberi impak menakjubkan.

Justeru, kurator-kurator muda perlu lebih kreatif dan berwawasan demi mencapai visi Muzium Sabah sebagai muzium unggul dengan perkhidmatan bertaraf dunia, katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Muzium Sabah Joanna Kitingan berkata pembinaan muzium baru itu dilihat perlu bagi menempatkan pelbagai koleksi sejarah, selain keadaan muzium sedia ada yang sudah mencecah lebih 30 tahun.

Joanna berkata pihaknya kini sedang membuat kajian bagaimana membangunkan dan memiliki muzium baru yang lebih moden serta praktikal, selain menerapkan teknologi tiga dimensi.

Muzium baru itu dijangka dibina berhampiran muzium sedia ada, iaitu di kawasan seluas 18.7 hektar, dan ia akan membolehkan pihak muzium menempatkan koleksi mengikut kategori seperti sejarah dan alam semula jadi, katanya.