Sabah uji simpanan karbon tinggi untuk industri sawit

Sabah uji simpanan karbon tinggi untuk industri sawit

KUALA LUMPUR, 11 Dis (Bernama) – Jabatan Perhutanan Sabah komited untuk menguji metodologi Simpanan Karbon Tinggi plus (HCS+) bagi pembangunan ladang sawit lestari dalam tempoh enam bulan susulan pendedahan penemuan kajian HCS+.

Pengarah dan juga Pengasas Forum for the Future, Jonathon Porritt berkata jabatan itu memaklumkan kajian tersebut akan dapat membantu mereka dan organisasinya berminat untuk mengambil langkah seterusnya berhubung tawaran yang dibuat oleh jabatan berkenaan.

“Ini menunjukkan negeri itu amat komited ke arah industri kelapa sawit lestari dan ekonomi mampan,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran HCS+, di sini, hari ini.

Metodologi HSC+ menawarkan kemungkinan membangunkan kelapa sawit yang melindungi hutan dan mempunyai paras simpanan karbon atas permukaan tanah pada kadar lebih 75 tan sehektar merangkumi hutan tanah gambut dan tanah-tanah organik lain.

Porritt berkata beberapa syarikat besar dalam rantaian bekalan global telah memeterai Manifesto Minyak Sawit Lestari, satu komitmen yang menetapkan piawaian lebih tinggi bagi kelestarian.

“Ada 18 syarikat termasuk IOI Corp Bhd, Kuala Lumpur Kepong Bhd (KLK), Musim Mas, Sime Darby Plantation dan Unilever yang bersetuju menguji hasil kajian,” kata Porritt.

Beliau berkata Sime Darby misalnya, bersetuju untuk menjalankan ujian HCS+ dan HCS secara serentak di kawasan operasinya di Liberia, manakala Musim Mas pula mahu mencuba metodologi itu di Papua New Guinea.

Kajian HCS+ dibiayai oleh syarikat termasuk IOI Corp, Sime Darby serta KLK dan dijalankan dari November 2014 hingga Disember 2015, dengan kos sekitar RM12 juta.