Sabah usir 11,071 PATI, 5 bulan pertama tahun Ini

Sabah usir 11,071 PATI, 5 bulan pertama tahun Ini

KOTA KINABALU, 5 Jun – Seramai 11,071 pendatang asing tanpa izin (PATI) di Sabah dihantar pulang ke negara asal masing-masing dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini. Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah Rodzi Md Saad berkata, daripada jumlah itu, seramai 9,069 merupakan warga Filipina, 1,906 rakyat Indonesia dan 96 dari lain-lain negara.

“Selain itu juga, sehingga kelmarin, seramai 5,154 PATI ditahan dan berada di Pusat Tahanan Sementara (PTS) di seluruh Sabah.

“Pecahan PATI yang ditahan di PTS seluruh negeri ialah 1,195 di Kota Kinabalu, Papar (1,734), Sibuga (920) dan Tawau (1,305),” katanya pada sidang akhbar mengenai pelaksanaan operasi bersepadu MKN Sabah di sini, kelmarin.

Rodzi juga memberitahu sejak Januari tahun ini, seramai 3,780 orang disyaki PATI diperiksa menerusi 11 operasi bersepadu yang diterajui MKN Negeri. Daripada jumlah itu, beliau berkata 2,502 orang ditahan untuk tapisan lanjut sebelum 1,278 orang direman.

Mengenai operasi bersepadu terbaru yang dijalanan dari jam 1 pagi hingga 4 petang semalam, Rodzi berkata kawasan operasi tertumpu di sekitar Kota Kinabalu dan Penampang. Katanya, seramai 606 orang diperiksa dan 228 daripadanya ditahan untuk tapisan lanjut.

“Setakat pukul 4 petang semalam, seramai 175 orang daripada 228 yang ditahan telah direman dan mereka berumur antara 10 dan 60 tahun.

“Mereka terdiri daripada 169 warga Filipina iaitu 116 lelaki dan 53 wanita, serta enam warga Indonesia terdiri daripada lima lelaki dan satu wanita,” katanya sambil menambah kesemua mereka pertama kali memasuki Sabah secara haram.

Rodzi berkata operasi bersepadu melibatkan jabatan dan agensi Polis Diraja Malaysia, Imigresen, Pendaftaran Negara, Jabatan Ketua Menteri, Pertahanan Awam dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, akan terus diperkukuhkan dan dilaksanakan demi kesejahteraan rakyat tempatan. – Bernama

 

ARTIKEL YANG SAMA