Sabine enggan dedah perkembangan Schumacher

Sabine enggan dedah perkembangan Schumacher

BERLIN, 13 Mac (AFP) – Pengurus Michael Schumacher, Sabine Kehm mengaku sengaja mengelak daripada memberikan maklumat tepat mengenai tahap kesihatan legenda Formula Satu (F1) Jerman bagi mengelak spekulasi atau salah tafsir dalam media.

“Buat masa ini, saya lihat tiada alternatif,” katanya kepada akhbar berpusat di Munich, Sueddeutsche Zeitung pada hari ini.

“Setiap ayat adalah faktor yang membawa pertanyaan baharu, setiap perkataan adalah pendorong kepada maklumat lebih lanjut. Ia tidak pernah berakhir.”

Bekas juara dunia tujuh kali, Schumacher mengalami kecederaan di kepala ketika nahas ski di Alps Perancis pada Disember 2013 dan selama enam bulan dalam koma sebelum pulang ke kediamannya di Switzerland bagi meneruskan proses pemulihan.

Sebarang perkembangan terbaharu yang dibuat oleh Kehm berkaitan kesihatan Schumacher sepanjang dua tahun setengah, disifatkan sedikit dan amat kurang, tetapi sentiasa cepat dihebahkan dalam media.

Bulan lalu, bekas ketua Ferrari, Luca di Montezemolo berkata: “Saya mendapat berita mengenai Schumacher sepanjang masa tapi malangnya ia tidak baik.”

ARTIKEL YANG SAMA