Sabli Food, SMSB jalin kerjasama

Sabli Food, SMSB jalin kerjasama

Oleh Andree Asmara bin Haji Abidin

 

BAGI menyokong Program Pra-Vokasional, baru-baru ini Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd dengan kerjasama Sekolah Menengah Sufri Bolkiah (SMSB) telah melancarkan aktiviti pembungkusan rempah bagi para pelajar Program Pra-Vokasional dan Pearson BTEC Program.

Hadir sebagai tetamu kehormat pada majlis pelancaran tersebut ialah Pengurus Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd, Haji Mohd Nooh bin OKMD Haji Saman.

Turut hadir ialah Pengetua SMSB, Dayangku Hajah Norahizan binti Pengiran Haji Bungsu, timbalan-timbalan pengetua, para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan pegawai dari Unit Pendidikan Khas.

Ketika menyampaikan ucapannya, Dayangku Hajah Norahizan memuji kerjasama di antara Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd dan Sekolah Menengah Sufri Bolkiah, di mana para pelajar dan guru-guru diberi peluang untuk melakukan aktiviti membungkus rempah.

Beliau juga menghargai inisiatif Jabatan Sekolah-sekolah dalam membantu pihak sekolah dalam memberi peluang kepada pelajar dan guru Program Pra-Vokasional dan Program Pearson BTEC menimba kemahiran kerja melalui aktiviti pembungkusan rempah.

Sesi bergambar bersama tetamu kehormat, warga sekolah, para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan pegawai dari Unit Pendidikan Khas.
Sesi bergambar bersama tetamu kehormat, warga sekolah, para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah dan pegawai dari Unit Pendidikan Khas.

Beliau turut mengalakkan lebih banyak kerjasama dengan institusi kerajaan dan swasta lain supaya terlibat sama dalam Program Pra-Vokasional dan Program Pearson BTEC, serta memberi peluang kepada para pelajar menjalani penempatan kerja dan diambil bekerja selepas tamat program berdasarkan mutu kerja.

Semasa majlis pelancaran, Pengurus Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd, Haji Mohd Nooh telah menunjukkan kepada para jemputan tentang langkah-langkah pembungkusan rempah daripada menimbang, membungkus dan meletakkan pelekat bar kod pada setiap paket.

Kemudian, tetamu , ibu bapa dan penjaga pelajar Program Pra-Vokasional diberi peluang untuk menyertai aktiviti pembungkusan berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Awang Haji Mohd Nooh telah menyatakan minat untuk menawarkan peluang kepada para pelajar untuk meraih pengalamanan dalam pembungkusan rempah dan menjalani penempatan kerja.

Kerjasama di antara SMSB dan Syarikat Sabli Food Industries Sdn Bhd itu adalah kerjasama ketiga selepas kerjasama syarikat tersebut dengan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar dan Maktab Sultan Omar Ali Saifuddien yang bermula pada 29 Ogos 2016.

ARTIKEL YANG SAMA