Sabli-SMSAB bekerjasama dalam aktiviti pembungkusan rempah

Sabli-SMSAB bekerjasama dalam aktiviti pembungkusan rempah

BANDAR SERI BEGAWAN, 4 Okt – Dalam menyokong Program Pra Vokasional, Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd telah bekerjasama dengan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar (SMSAB) dengan melancarkan aktiviti pembungkusan rempah bagi para pelajar pra vokasional sekolah berkenaan, baru-baru ini.

Hadir selaku tetamu kehormat yang berlangsung di SMSAB, Kampung Lambak, itu ialah Pengurus Sabli Food Industries (B) Sdn Bhd, Haji Mohd Nooh bin OKMD Haji Saman.

Turut hadir ialah Pengetua SMSAB, Dayang Sia Ai Chin, timbalan-timbalan pengetua, para pegawai dari Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, guru-guru dan pelajar-pelajar Program Pra Vokasional.

Semasa menyampaikan ucapannya, Dayang Sia Ai Chin memuji kerjasama berkenaan di mana para pelajar dan guru-guru diberi peluang untuk membungkus rempah.

Beliau turut menggalakkan lebih banyak kerjasama dengan institusi-institusi kerajaan dan swasta lain supaya terlibat dalam Program Pra Vokasional dan memberi peluang kerja kepada pelajar berkeperluan khas.

Bergambar bersama kedua belah pihak Sabli Food Industri dan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar.
Bergambar bersama kedua belah pihak Sabli Food Industri dan Sekolah Menengah Sayyidina Abu Bakar.
Beberapa orang pelajar sedang membungkus rempah.
Beberapa orang pelajar sedang membungkus rempah.

Menurut kenyataan disini, semasa majlis pelancaran itu, Haji Mohd Nooh telah menunjukkan kepada para jemputan tentang langkah-langkah pembungkusan rempah daripada menimbang, membungkus dan meletakkan pelekat bar kod pada setiap paket. Kemudian, para pelajar diberi peluang untuk menyertai aktiviti pembungkusan berkenaan.

Sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporatnya, Sabli Food Industries Sdn Bhd telah menyatakan minat dalam menyertai projek itu dengan menawarkan peluang kepada mereka untuk meraih pengalaman pembungkusan rempah.

Menurut kenyataan itu, Program Pra Vokasional diperkenalkan oleh Unit Pendidikan Khas untuk memenuhi keperluan pelajar berkeperluan khas, dan pada masa ini, terdapat seramai 26 buah sekolah menengah kerajaan dan kolej yang dipilih untuk melaksanakan program berkenaan. Ia merupakan program lima tahun yang mana dalam Tahun 10 dan 11, para pelajar akan menjalani penempatan kerja masing-masing selama tiga dan enam bulan.

ARTIKEL YANG SAMA