Sabrina juara Sabre Individu

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Jan – Hajah Anis Sabrina binti Yahya dari Pasukan Daerah Brunei dan Muara, muncul juara Kategori Sabre Individu wanita Kejohanan Lawan Pedang Terbuka Brunei 2018 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, Berakas hari ini.

Hajah Anis Sabrina merangkul pingat emas selepas berjaya mengalahkan rakan sepasukannya Dayangku Siti Syahirah binti Pengiran Idris yang mendapat pingat perak.

Manakala berkongsi pingat perak dalam kategori itu adalah dua peserta dari IKASI Surabaya, Indonesia iaitu Ken Soraya Ananta Tantri Budi dan Azeldine Aliya Zahira Hisnindarsyah.

Dalam Kategori Epee Individu Lelaki pula menyaksikan dua peserta negara dari Pasukan Daerah Brunei dan Muara iaitu Awang Muhammad Hafizzi Ilah dan Awangku Ahmad Zaim bin Pengiran Idris berkongsi pingat gangsa setelah tewas pada separuh akhir.

Barisan peserta Kategori Sabre Individu Wanita yang telah dijuarai oleh Hajah Anis Sabrina selepas menumpaskan rakan sepasukannya Dayangku Siti Syahirah. – Gambar oleh Fadhil Yunos

Manakala, Anggi Williansyah dari Persatuan Lawan Pedang Kota Bogor Indonesia meraih pingat emas selepas menewaskan rakan sepasukannya, Muhammad Dwi Wahyu.

Hadir menyempurnakan penyampaian pingat hari ini ialah Presiden Persekutuan Lawan Pedang Brunei Darussalam, Haji Kassim bin Awang Bakar.

Manakala Kategori Berkumpulan Epee Wanita, Kategori Berkumpulan Sabre Lelaki dan Kategori Berkumpulan Foil Lelaki akan berlangsung esok dan pada Ahad nanti Kategori Berkumpulan Sabre Wanita, Kategori Berkumpulan Epee lelaki dan Kategori Berkumpulan Foil Wanita pula akan dipertandingkan.