Sadaqah House tangani masalah sosioekonomi

Sadaqah House tangani masalah sosioekonomi

KUALA LUMPUR, 12 Okt – Institusi perbankan Islam dapat membantu menangani masalah sosioekonomi dengan menawarkan produk Sadaqah House atau ‘Bait as-Sadaqah’ yang berasaskan sedekah, kata ahli akademik Kolej Universiti Islam Antarabangsa (KUIS).

Pengarah Pusat Penyelidikan Antarabangsa Ekonomi Islam dan Kewangan (IRCIEF) KUIS, Dr. Latifa Bibi Musafar Hameed berkata Sadaqah House yang juga produk pelaburan perbankan, dapat mengurangkan jurang antara golongan miskin dan kaya dengan menyediakan keperluan kewangan serta memenuhi permintaan sektor kebajikan sosial.

Menurutnya, inisiatif yang diperkenalkan oleh pengasas dan bekas Pengarah Urusan Bank Islam Malaysia Datuk Dr Abdul Halim Ismail, menyaksikan penglibatan bank-bank berlesen sebagai pemegang amanah kepada dana masyarakat dalam bentuk sumbangan atau sedekah daripada pelanggan dan kemudiannya digunakan bagi tujuan pelaburan.

“Hasil pelaburan ini akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan dalam bentuk termasuk sumbangan sedekah atau geran perniagaan manakala sumbangan awal dana masyarakat itu akan kekal untuk dilabur semula.

“Ini dapat membantu menangani masalah kemiskinan dan pengangguran selain membolehkan golongan miskin dan kurang berkemampuan meneruskan hidup menerusi inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di luar Syarahan Awam Kewangan Islam Mengenai Ekonomi Sosial 2016 anjuran IRCIEF dan Institut Latihan Penyelidikan dan Latihan Islam (IRTI), di sini.

Mengulas lanjut, Latifah berkata institusi perbankan Islam juga dapat menonjolkan perbezaan mereka daripada rakan konvensional dengan melaksanakan elemen kebajikan sosial berkenaan.

Pihak bank dapat menawarkan produk Sadaqah House itu dengan memanfaatkan infrastruktur sedia ada mereka.

“Bagaimanapun, mereka perlu melaksanakan kajian lanjut untuk menjadikannya satu kenyataan dan usaha itu perlu dimulakan dari sekarang.

“Masyarakat sememangnya amat terbuka untuk menderma dan kami menjangkakan ia akan mendapat sambutan baik,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki pula berkata, banyak institusi dalam sektor kebajikan sosial, sepertimana yang berkaitan dengan sedekah dan wakaf, boleh dibangunkan lagi serta dioptimumkan.

“Malaysia boleh menjadi perintis dalam sektor kebajikan sosial ini jika segmen ini diberi lebih banyak perhatian,” katanya.

Beliau turut menekankan keperluan untuk memahami kewangan Islam dan produk-produk perbankan berkaitan dalam usaha menjadikan agenda ‘Maqasid Syariah’ iaitu berteraskan Syariah. – Bernama