Sadiq Khan dikecualikan – Trump

Sadiq Khan dikecualikan – Trump

WASHINGTON, 10 Mei (AFP) – Calon Republikan bagi jawatan Presiden Donald Trump berkata, dia akan membuat pengecualian kepada datuk bandar Islam baru London untuk mengunjungi Amerika Syarikat (AS) selepas melarang umat Islam daripada memasuki negara itu, menurut laporan akhbar New York Times.

Bakal calon Republikan untuk pemilihan presiden itu mencadangkan Muslim dilarang memasuki AS Disember lalu, beberapa hari selepas dua penyerang membunuh 14 orang di San Bernardino, California.

Sadiq Khan, dipilih sebagai datuk bandar London Sabtu lalu, menyuarakan kebimbangan beliau mungkin tidak dapat mengunjungi AS jika Trump dipilih sebagai Presiden AS, November ini.

“Sentiasa ada pengecualian,” kata Trump kepada the Times dalam temuramah disiarkan semalam.

Jutawan hartanah lantang itu, yang meminggirkan ramai warga AS dengan penghinaan ke atas pendatang, Muslim dan wanita, mengalu-alukan pemilihan Khan.

Donald Trump mengecualikan Sadiq Khan untuk memasuki AS sekiranya dia memenangi pilihan raya presiden AS. – AFP
Donald Trump mengecualikan Sadiq Khan untuk memasuki AS sekiranya dia memenangi pilihan raya presiden AS. – AFP

“Saya gembira dengan pemilihan itu. Saya fikir ia sesuatu yang bagus dan berharap beliau melakukan tugas yang bagus kerana secara terus terang ia amat, amat bagus.

“Jika dia melakukan tugas yang bagus, ia sesuatu yang mengagumkan,” tambahnya. Khan, yang mana ibu bapanya berasal dari Pakistan, adalah datuk bandar Islam pertama London.

“Saya mahu ke Amerika untuk bertemu dan bertukar pandangan dengan datuk bandar di AS. Jika Donald Trump menjadi presiden, saya akan dihalang daripada pergi ke sana disebabkan pegangan saya,” katanya kepada majalah Time.

Khan menambah kritikan kepada Trump, walaupun setelah mengetahui calon presiden Republikan itu akan mengecualikan dirinya terhadap hal itu.

“Ini bukan sahaja tentang saya, ia mengenai rakan-rakan saya, keluarga saya dan orang lain yang datang daripada latar belakang serupa dengan saya di seluruh dunia ini,” ujar Khan.

Dia menambah: “Pandangan jahil Trump terhadap Islam boleh menjadikan kedua-dua negara kurang selamat, ia berisiko mengasingkan golongan Islam utama di seluruh negara dan bermain di tangan puak ekstremis,” ujar Khan lagi.