Sa’dun, Siti Ummi juara Musabaqah Tilawatil Belia

Sa’dun, Siti Ummi juara Musabaqah Tilawatil Belia

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Mei – Awang Muhammad Sa’dun bin Suhaili muncul johan qari manakala Dayangku Siti Ummi Syazana binti Pengiran Haji Jofri muncul johan qariah dalam Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan Peringkat Akhir yang berlangsung di Dewan Digadong, Bangunan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin.

Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar, setiausaha-setiausaha tetap di KKBS serta para jemputan khas.

Pemangku Pengarah Belia dan Sukan, Awang Zafri bin Haji Mohamed dalam kata alu-aluannya berkata bahawa terdapat peningkatan dari segi jumlah penyertaan belia qari dan qariah terutama penyertaan di Daerah Brunei dan Muara iaitu seramai 78 orang peserta, lapan peserta dari Daerah Tutong, enam peserta dari Daerah Belait dan enam peserta dari Daerah Temburong yang membawa jumlah seramai 98 peserta dibandingkan dengan 77 orang pada 2015.

Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada johan qari, Awang Muhammad Sa’dun.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada johan qari, Awang Muhammad Sa’dun.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada johan qariah, Dayangku Siti Ummi Syazana.
Yang Berhormat Pehin menyampaikan hadiah kepada johan qariah, Dayangku Siti Ummi Syazana.

Di samping itu, penyertaan di separuh akhir juga meningkat kepada 34 orang peserta berbanding sebelumnya iaitu hanya 30 orang peserta dengan tujuan untuk memberi peluang kepada qari dan qariah yang berpotensi untuk bertanding dalam acara yang lebih formal di samping mengasuh bakat yang mereka miliki dalam kegiatan yang bermanfaat itu.

Manakala itu, penyertaan di peringkat akhir dikekalkan kepada empat qari dan empat qariah di mana yang terpilih untuk peringkat akhir musabaqah berkenaan adalah antara yang mempunyai mutu bacaan terbaik dalam pandangan para ahli jemaah hakim.

Awang Zafri turut menyatakan harapan supaya Musabaqah Tilawatil Quran Belia Kebangsaan itu terus dilaksanakan setiap tahun bukan sahaja bagi meningkatkan mutu bacaan para qari dan qariah tetapi melalui program keagamaan itu, ia dapat mendekatkan golongan belia dengan Al-Quran sebagai landasan hidup selaras dengan konsep negara, Melayu Islam Beraja dan menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir.

Majlis kemudian menyaksikan qari dan qariah peringkat akhir bertanding untuk merebut gelaran johan. Bagi bahagian qari, johan iaitu Awang Muhammad Sa’dun membawa pulang piala pusingan, piala iringan, wang tunai $2,000 dan sijil penyertaan, manakala itu tempat kedua dimenangi oleh Awang Ashizal bin Zainal Abidin, tempat ketiga ialah Awang Abdull Mu’in bin Haji Abdul Hamid dan tempat keempat ialah Awang Muhammad Arif bin Haji Johari.

Sementara itu, bagi bahagian qariah, Dayangku Siti Ummi Syazana membawa pulang hadiah piala pusingan, piala iringan, wang tunai $2,000 dan sijil penyertaan selaku johan.

Tempat kedua pula dimenangi Dayangku Amal Zahirah binti Pengiran Haji Jofri, tempat ketiga Dayangku Nur Aqilah binti Pengiran Haji Ayub dan tempat keempat ialah Hajah Wafiqah binti Haji Daim.

Pertandingan ini merupakan salah satu projek tahunan yang dilaksanakan oleh Jabatan Belia dan Sukan, KKBS yang dijalankan sejak tahun 1980-an serta telah berjaya melahirkan ramai qari dan qariah yang berkaliber dan mampu bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

Ia berperanan sebagai wadah kepada qari dan qariah belia di negara ini untuk melihat keupayaan dan prestasi masing-masing khususnya dalam bidang pembacaan Al-Quran secara berlagu atau tarannum selain bagi persediaan pemilihan wakil negara ke Musabaqah Tilawatil Quran Belia Asia Tenggara anjuran KKBS serta untuk memupuk dan menyemai rasa persahabatan dalam kalangan belia melalui program keagamaan.

ARTIKEL YANG SAMA