Saf sembahyang, elakkan 10 kerugian

Saf sembahyang, elakkan 10 kerugian

minda_logo-indahnya-islam

SIRI 2

Ganjaran sembahyang berjemaah

MEMBETULKAN saf itu mempunyai kaitan langsung dengan sembahyang berjemaah, kerana maksud membuat saf atau barisan itu adalah untuk tujuan sembahyang secara berjemaah.

Kelebihan mendirikan sembahyang secara berjemaah adalah 27 kali ganda berbanding dengan mendirikannya secara bersendirian. Ini adalah berdasarkan hadis sahih di mana Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya: “Sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang bersendirian dengan dua puluh tujuh darjat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Di dalam riwayat yang lain, juga riwayat yang sahih, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam menjelaskan bahawa kelebihan mendirikan sembahyang secara berjemaah itu adalah 25 kali ganda berbanding dengan mendirikannya secara bersendirian sebagaimana sabda Baginda yang maksudnya: “Sembahyang berjemaah itu melebihi sembahyang bersendirian dengan dua puluh lima darjat.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Al-Imam Ibnu Hajr al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala di dalam kitabnya Fath al-Bari menjelaskan bahawa ganjaran 27 darjat itu adalah ganjaran khusus bagi sembahyang jemaah di mana imam membaca surah al-Fatihah dan surah atau ayat-ayat tertentu dengan nada suara yang nyaring (jahr), seperti sembahyang fardhu subuh, Maghrib dan ‘Isya’.

Sementara ganjaran 25 itu pula adalah ganjaran khusus bagi sembahyang jemaah di mana imam membaca surah al-Fatihah dan surah atau ayat-ayat tertentu dengan nada suara perlahan (sir), seperti sembahyang fardhu Zuhur dan Asar.

Al-Imam Ibnu Hajr juga membuat analisa sebab-sebab kenapa orang yang melakukan sembahyang secara berjemaah itu dikurniakan ganjaran dengan jumlah sebegitu. Al-Imam merumuskan bahawa orang yang sembahyang berjemaah itu:

1) Menjawab seruan azan dengan niat untuk mendirikan sembahyang secara berjemaah.

2) Bersegera datang untuk berjemaah pada awal waktu.

3) Berjalan pergi ke masjid dengan tenang.

4) Masuk ke dalam masjid sambil berdoa.

5) Mendirikan sembahyang sunat tahiyyatul masjid setelah masuk ke dalam masjid.

Kelima-lima perkara ini dilakukan dengan niat untuk mendirikan sembahyang secara berjemaah.

6) Menunggu-nunggu sembahyang berjemaah.

7) Para malaikat mendoakannya dan memohonkan keampunan baginya.

8) Disaksikan oleh para malaikat.

9) Menjawab iqamah.

10) Terselamat daripada gangguan syaitan, di mana syaitan akan cabut lari apabila mendengar iqamah.

11) Berdiri kerana menunggu imam mengangkat takbiratul ihram atau masuk mengikut imam menunaikan sembahyang pada mana-mana bahagian dia mendapati imam.

12) Menyempati takbiratul ihram imam.

13) Mengelokkan saf dan memenuhi ruang-ruang saf yang kosong.

14) Menjawab perkataan imam semasa bagun dari rukuk

15) Terhindar daripada lupa pada kebiasaannnya, di samping dapat mengingatkan imam jika dia terlupa dengan mengucapkan tasbih (Subhanallah) dan membe-tulkan bacaan imam jika dia tersalah baca.

16) Pada kebiasaannya dia memperolehi khusyuk ketika sembahyang dan terselamat daripada perkara yang boleh melalaikannya.

17) Pada kebiasaannya dia mengelokkan dan menghiasi dirinya dan pakaiannnya.

18) Dikelilingi oleh para malaikat.

19) Terbiasa atau terlatih dengan bacaan secara bertajwid dan dapat mempelajari rukun-rukun sembahyang dan sunat-sunat ab‘adhnya.

20) Menzahirkan syi‘ar-syi‘ar Islam.

21) Menyebabkan syaitan menjadi benci kerana terdapat perkumpulan untuk mengerjakan ibadat, bertolong-tolongan membuat perkara ketaatan dan orang yang malas menjadi rajin.

22) Terjauh daripada sifat kemunafikan dan secara langsung terhindar daripada perasangka buruk orang lain bahawa dia tidak menunaikan sembahyang.

23) Menjawab salam imam.

24) Mendapat manfaat kerana berkumpul beramai-ramai memohon doa dan berzikir, dan orang yang mempunyai kekurangan akan mendapat berkat daripada orang yang sempurna ibadatnya daripada kalangan mereka.

25) Dapat membangunkan organisasi persahabatan di antara jiran tetangga dan persefahaman terhasil pada waktu-waktu sembahyang.

Sebagai nilai tambah, berikut adalah dua ganjaran khusus bagi sembahyang jemaah di mana imam membaca surah al-Fatihah dan surah atau ayat-ayat tertentu dengan nada suara yang nyaring (jahr):

26) Diam ketika imam membaca surah al-Fatihah dan surah atau ayat-ayat tertentu serta mendengarkannya.

27) Mengaminkan ketika imam mengaminkan surah al-Fatihah yang dibacanya.

Bagaimana jika sembahyang jemaah yang tidak dilakukan di masjid?

Al-Imam Ibnu Hajr al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan lagi bahawa ganjaran yang berlipat ganda sehingga menjadi 27 atau 25 yang disebutkan itu adalah khusus bagi sembahyang jemaah yang dilakukan di masjid. Jika berjemaah itu pula tidak dilakukan di masjid, maka akan terluputlah tiga perkara kebajikan, iaitu:

1) Berjalan pergi ke masjid dengan tenang.

2) Masuk ke dalam masjid sambil berdoa.

3) Mendirikan sembahyang sunat tahiyyatul masjid setelah masuk ke dalam masjid.

Namun begitu, tiga perkara yang terluput itu akan diganti dan diliputi oleh tiga perkara yang lain yang mengandungi dua jenis kebajikan di dalamnya, umpamanya perkara-perkara yang tersebut di dalam bilangan (15), (24) dan (25). Ketiga-tiga perkara ini sebenarnya mengandungi enam perkara kebajikan, kerana setiap satu daripada tiga perkara tersebut mengandungi dua jenis perkara kebajikan, iaitu orang yang berjemaah itu:

– Mendapat manfaat kerana berkumpul beramai-ramai memohon doa dan berzikir.

– Mendapat berkat daripada orang yang sempurna ibadatnya daripada kalangan mereka.

– Mendapat berkat daripada orang yang sempurna ibadatnya daripada kalangan mereka.

– Dapat membangunkan organisasi persahabatan di antara jiran tetangga.

– Dapat mewujudkan persefahaman pada waktu-waktu sembahyang.

Terhindar daripada lupa.

Dapat mengingatkan imam jika dia terlupa dengan mengucapkan tasbih (Subhanallah) dan membetulkan bacaan imam jika dia tersalah baca.

Maka dengan itu, jumlah ganjaran dua puluh tujuh masih kekal dengan pemecahan tiga perkara menjadi enam perkara.

Kerugian Sepuluh Perkara Kerana Tidak Mengelokkan Saf

Al-Imam as-Suyuthi Rahimahullahu Ta‘ala menjelaskan di dalam kitabnya Basth al-Kaf fi Itmam ash-Shaf, keengganan seseorang untuk mengelokkan saf sembahyang boleh mengurangkan satu darjat daripada ganjaran pahalanya sebanyak dua puluh tujuh, kerana mengelokkan saf itu mengandungi nilai satu darjat.

Di samping itu, keengganannya mengelokkan saf meluputkan lagi sembilan perkara kebajikan lain yang mewakili dua puluh tujuh perkara kebajikan yang disebutkan di atas, di mana tiap-tiap satunya mengandungi nilai satu darjat.

Sembilan perkara yang terluput itu ialah:

1) Keamanan daripada gangguan syaitan. Ini kerana syaitan akan mencelah-celah di ruangan saf yang kosong yang sepatutnya diisi, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya:

“Luruskanlah oleh kamu saf-saf kamu dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf) dan tutupi celah-celah, kerana syaitan masuk mencelah di antara kamu sama seperti anak domba, yakni anak-anak kambing yang kecil.” (Hadis riwayat Ahmad)

2) Lingkungan para malaikat. Ini kerana malaikat adalah musuh syaitan. Malaikat tidak akan berada di suatu tempat apabila syaitan berada di situ. Oleh itu, malaikat tidak akan datang ke tempat tersebut (saf yang tidak elok itu).

3) Doa para malaikat baginya.

4) Penyaksian para malaikat.

5) Pembangunan organisasi persahabatan. Ini kerana tidak mengelokkan saf itu boleh menyumbang kepada pergeseran dan perselisihan di lubuk hati sebagaimana yang tersebut di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Mas‘ud, beliau berkata yang maksudnya: “Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam membetul-betulkan bahu kami ketika (akan) mendirikan sembahyang, dan Baginda bersabda: “Luruskanlah, jangan kamu membengkok (saf), maka hati-hati kamu pun akan berselisih (tidak sefahaman)……” (Hadis riwayat Muslim)

6) Perolehan berkat orang yang mempunyai kekurangan daripada orang yang sempurna ibadatnya di kalangan mereka. Ini kerana tidak mengelokkan saf itu menyebabkan hati tidak bersatu.

7) Terhindar daripada lupa. Oleh itu, orang yang tidak mengelokkan saf biasanya tidak akan terlepas daripada lupa.

8) Kebencian syaitan terhadap perkumpulan orang yang mengerjakan ibadat dan bertolong-tolongan membuat perkara ketaatan. Apabila saf sembahyang dalam keadaan yang tidak elok, maka syaitan suka dengan keadaan saf yang tidak elok itu.

9) Khusyuk dalam sembahyang. Ini kerana syaitan yang masuk di celah-celah saf yang kosong akan berusaha mengganggu dan mendatangkan was-was orang yang bersembahyang.

Ini bermakna orang yang tidak mengelokkan saf akan kerugian 10 nilai ganjaran daripada 27 ganjaran pahala. Ini baru dilihat dari aspek mengelokkan saf, belum lagi termasuk aspek kesempurnaan sembahyangnya.

Jika sembahyangnya pula mempunyai kekurangan, maka akan bertambah rugilah lagi, kerana semakin banyak pula ganjaran pahala akan terluput.

Untuk kesimpulannya, kesempurnaan ibadat sembahyang sebagaimana yang ditentukan oleh syarak merupakan suatu tuntutan, termasuk tata cara kesempurnaannya itu, jika sembahyang yang dilakukan secara berjemaah ialah dengan memenuhkan dan meluruskan saf sembahyang.

Memenuhkan dan meluruskan saf tidaklah susah. Hanya sekadar mengorak beberapa langkah ke hadapan, ke kiri atau ke kanan. Yang menjadikannya susah itu ialah sikap atau tabiat yang tidak mahu berubah untuk mendisiplinkan diri dalam mengelokkan saf atau kerana kurang maklumat mengenai kelebihan mengelokkan saf sehingga ia dipermudah-mudahkan.

Perintah memenuhkan dan meluruskan saf janganlah dipandang kecil. Mana mungkin begitu, kerana ancaman Allah jelas bagi orang yang tidak mengelokkan saf dengan menjadikan rupanya dengan bentuk keldai atau hati menjadi tidak bersefahaman, selain itu hilangnya banyak kelebihan atau fadilat. Ini bererti rugi! Maka kerugian inilah mesti dielakkan.

Oleh kerana memenuhkan dan meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang, maka tidak ada sebab mengapa kita tidak boleh berubah untuk mengelokkan saf.

Jangan biarkan diri kita hanyut dengan memandang mudah terhadap kepentingan saf yang elok dan sempurna itu.

ARTIKEL YANG SAMA