Saf sembahyang, elakkan 10 kerugian

Saf sembahyang, elakkan 10 kerugian

pgm4_logo-indahnya-islam

SIRI 1

SALAH satu kesempurnaan yang perlu dijaga dalam melakukan ibadat sembahyang secara berjemaah ialah membetulkan atau mengelokkan saf sembahyang. Apa yang dimaksudkan dengan mengelokkan saf sembahyang itu? Ianya memberi maksud dua perkara, iaitu orang-orang yang mendirikan sembahyang berjemaah itu hendaklah:

1) Membetulkan atau meluruskan saf mereka sehingga menjadi satu barisan yang lurus, dan

2) Mengisi atau memenuhkan barisan saf yang terdapat ruangan kosong.

Bagaimana mengelokkan saf sembahyang?

Jumhur ulama berpendapat bahawa disunatkan bagi makmum meluruskan saf-saf mereka ketika bersembahyang jemaah supaya tidak terdapat sebahagian jemaah terkehadapan atau terkebelakang daripada jemaah yang lainnya sehingga menyebabkan tidak sama dan tidak lurus saf mereka.

Ketika makmum berdiri, mereka hendaklah meluruskan saf dalam keadaan yang berdekatan sehingga bersentuhan bahu dengan bahu, kaki dengan kaki dan tumit dengan tumit supaya tidak terdapat ruang yang kosong dan renggang.

Sehubungan dengan itu, disunatkan bagi imam mengarahkan makmumnya supaya meluruskan saf-saf mereka sebagaimana yang biasa kita dengar sebelum imam mendirikan sembahyang, kerana meluruskan dan memenuhi saf itu termasuk dalam kesempurnaan dan keelokan sembahyang. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya; “Luruskanlah saf-saf kamu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu termasuk kesempurnaan sembahyang”. (Hadis riwayat Muslim)

Sabda Baginda lagi yang maksudnya; “Kamu luruskanlah saf di dalam sembahyang, kerana meluruskan saf itu termasuk keelokan sembahyang”. (Hadis riwayat Muslim)

Mengikut pendapat sebahagian ulama seperti Ibnu Hajar al-‘Asqalani Rahimahullahu Ta‘ala dan sebahagian ulama hadis bahawa meluruskan saf itu hukumnya wajib. Barangsiapa yang melampaui batas (barisan) adalah haram hukumnya, kerana suruhan Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam di dalam hadis Baginda supaya meluruskan saf adalah menunjukkan perintah wajib.

Hal ini jelas diterangkan dengan adanya ancaman mengenainya melalui sebuah hadits yang memerintahkan taswiyyah (meluruskan saf) sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Sungguh kamu mahu meluruskan saf-saf kamu atau Allah akan menggantikan di antara wajah-wajah kamu.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam kitab Syarh Shahih Muslim disebutkan beberapa pendapat yang menerangkan mengenai maksud hadis di atas.

Namun begitu, pendapat yang azhhar bagi maksud hadis di atas ialah terjadi di antara mereka (orang-orang yang tidak meluruskan saf) permusuhan, kebencian dan perselisihan di lubuk hati.

Menurut Ibnu Hajar al-‘Asqalani, walaupun tidak meluruskan saf dalam sembahyang jemaah itu hukumnya adalah haram, akan tetapi yang demikian itu tidaklah membatalkan sembahyang.

Tuntutan memenuhi saf pertama

Para fuqaha telah bersepakat mengatakan bahawa sunat bagi para jemaah untuk memenuhi saf yang pertama terlebih dahulu sehingga tidak ada ruang yang kosong atau renggang. Kemudian baharulah diikuti dengan saf yang kedua dan seterusnya. Ini adalah berdasarkan hadis-hadis sahih yang menerangkan mengenainya, antaranya sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya;

“Sempurnakanlah oleh kamu saf yang depan (saf yang pertama), kemudian saf-saf berikutnya, maka saf yang kurang itu (disebabkan sedikit makmum) hendaklah (saf yang kurang itu berada) di saf bahagian belakang”. (Hadis riwayat Abu Daud dan an-Nasa’i)

Oleh yang demikian, tidak digalakkan bagi para jemaah untuk mendirikan saf yang kedua atau berikutnya melainkan selepas sempurnanya saf yang pertama atau berikutnya. Dalam erti kata lain, jangan dibiarkan saf yang di hadapan makmum itu kosong atau renggang begitu sahaja, bahkan disunatkan ke atas mereka mengisinya dan merapatkannya.

Disunatkan juga ke atas makmum yang berada di hadapan memberikan ruang kepada makmum yang di belakang yang hendak masuk ke saf hadapan selagi ada ruang baginya, sebagaimana sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya;

“Luruskanlah oleh kamu saf-saf dan sejajarkanlah di antara bahu-bahu kamu, tutupi celah-celah dan berlaku lembutlah ketika memegang tangan saudaramu (waktu merapatkan saf), dan janganlah kamu biarkan celah-celah (yang kosong) itu untuk syaitan. Barangsiapa menghubungkan saf, maka Allah menghubungkannya (dengan rahmatNya) dan barangsiapa memutuskan saf, maka Allah memutuskannya (daripada rahmat dan pertolonganNya)”. (Hadis riwayat Abu Daud)

Fadilat memenuhi ruang saf yang kosong

Memenuhi ruang-ruang saf bukanlah suatu kerja yang susah. Ia suatu kerja yang amat senang dilakukan. Namun begitu, sikap setengah orang amat payah untuk menggerakkan kakinya satu atau dua langkah untuk memenuhi ruang-ruang saf yang masih renggang atau kosong.

Dia lebih rela membiarkannya begitu sahaja dalam keadaan renggang atau kosong, ataupun dia lebih rela menyuruh orang lain memenuhinya. Walhal mengisi atau memenuhi ruang-ruang saf yang kosong atau renggang itu mempunyai kelebihan yang besar. Jika dia tahu nescaya dia tidak akan melepaskannya kepada orang lain.

Apakah kelebihan atau fadilat memenuhi celah-celah atau ruang-ruang saf yang kosong itu? Berikut adalah beberapa riwayat yang menjelaskan mengenainya:

1. Diriwayatkan daripada ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha, beliau berkata, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya; “Sesungguhnya Allah memberi rahmat dan para MalaikatNya mendoakan ke atas orang-orang yang menghubungkan saf-saf, dan barangsiapa yang menutupi celah-celah yang kosong, nescaya Allah akan meninggikannya dengan satu darjat.” (Hadis riwayat Ibnu Majah dan Ahmad)

2. Sabda Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam yang maksudnya, “Barangsiapa yang menutupi celah-celah saf yang kosong, nescaya Allah akan meninggikannya dengan satu darjat dan menyediakan baginya sebuah rumah di dalam syurga.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

3. Diriwayatkan daripada Abu Juhaifah, Rasulullah Sallallahu ‘alaihi Wasallam bersabda yang maksudnya, “Barangsiapa yang menutupi celah-celah saf (yang kosong) nescaya akan diampunkan baginya.” (Hadis riwayat al-Bazzar)

4. Ibnu ‘Umar Radhiallahu ‘anhuma berkata yang maksudnya, “Tidak ada langkah yang lebih besar pahalanya daripada langkah di mana seseorang itu menggerakkan langkahnya menuju celah-celah saf (yang kosong) lalu dia menutupi celah-celah itu.” (Hadis riwayat ath-Thabarani)

Bersambung minggu depan…

ARTIKEL YANG SAMA