Sah 139 kubur, 28 kem ditemukan

Sah 139 kubur, 28 kem ditemukan

WANG KELIAN, 25 Mei (Bernama) – Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan 139 kubur dan 28 kem berkaitan isu pemerdagangan manusia yang ditinggalkan, ditemukan dalam kawasan Malaysia di Wang Kelian di sempadan Malaysia-Thailand.

Beliau berkata penemuan kubur itu termasuk satu kawasan perkuburan dan mayat yang reput yang hanya tinggal kulit dan tulang sahaja, dipercayai ditinggalkan tidak sampai dua minggu.

Bercakap kepada pemberita Malaysia dan asing di sini hari ini, beliau berkata penemuan itu hasil “Op Wawasan Khas JKDNKA 2015” oleh 300 anggota polis komando VAT 69 dan Pasukan Gerakan Am (PGA) dari 11 Mei hingga Sabtu lepas.

“Pendedahan ini membuktikan kerajaan Malaysia bersikap telus dan tidak menyembunyikan sebarang maklumat membabitkan isu pemerdagangan manusia,” kata Khalid.

Menurutnya reka bentuk kem berkenaan yang dipagar dan sentri menggambarkan ia dikawal dan orang-orang yang hendak diseludup tidak bebas bergerak.

Gambar menunjukkan keadaan kem pemerdagangan manusia berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. – Bernama
Gambar menunjukkan keadaan kem pemerdagangan manusia berhampiran sempadan Malaysia-Thailand. – Bernama
Tan Sri Khalid Abu Bakar menunjukkan gambar-gambar keadaan kem pemerdagangan manusia selepas sidang media berkaitan Op Wawasan Khas di Markas Tektikal (MARTEK) Wang Kelian dekat sini, kelmarin. – Bernama
Tan Sri Khalid Abu Bakar menunjukkan gambar-gambar keadaan kem pemerdagangan manusia selepas sidang media berkaitan Op Wawasan Khas di Markas Tektikal (MARTEK) Wang Kelian dekat sini, kelmarin. – Bernama

“Secara fakta kem-kem ini ditemui, ada yang dipercayai diduduki sejak 2013 dan terbaru dua kem ditinggalkan antara dua hingga tiga minggu lepas.

“Polis masih belum dapat memastikan sama ada semua kubur ini mengandungi mayat manusia atau tidak sehingga semuanya digali,” katanya.

Khalid berkata operasi itu dilancarkan susulan penemuan beberapa kubur besar mengandungi mayat manusia dipercayai pendatang asing membabitkan sindiket pemerdagangan manusia ditemukan pihak berkuasa Thailand di sekitar Padang Besar dan Songkhla, baru-baru ini.

Menurutnya kumpulan mayat pertama dijangka dapat dikeluarkan petang ini oleh pasukan forensik terdiri 31 orang yang memasuki kawasan kem tersebut pagi ini.

Katanya kawasan pencarian dalam operasi itu di bahagikan kepada sektor A, B dan C sepanjang 49.5 kilometer dari Kampung Wai dekat sini hingga tembok terakhir atau Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, Padang Besar.