Sah doping tidak jejas kemenangan atlet bina badan

Sah doping tidak jejas kemenangan atlet bina badan

KUALA LUMPUR, 18 Dis (BH) – Persekutuan Bina Badan Malaysia (MBBF) mengesahkan tidak ada kejuaraan atau kemenangan bakal ditarik daripada atlet bina badan negara yang dikaitkan dengan kegagalan pada ujian doping sebelum ini.

Setiausaha Kehormatnya, Kamaruzaman Kadir, berkata ujian saringan itu dilakukan di luar tempoh pertandingan, sekali gus tidak menjejaskan kemenangan diperoleh atlet bina badan terbabit.

“Kita buat ujian saringan di luar pertandingan. Kalau dibuat ketika kejohanan, sudah tentu lebih parah lagi kerana kemenangannya akan ditarik balik.

“Ujian saringan ini adalah kelaziman dilakukan dalam tempoh sebulan atau sebulan setengah sebelum dihantar ke luar negara untuk kejohanan. Ujian akan dilakukan kepada semua atlet tanpa mengira sama ada ia atlet bintang atau tidak,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kedudukan pelbagai kejuaraan atau kemenangan diperoleh oleh seorang atlet bina badan negara yang terbabit dengan kes doping.

MBBF kelmarin memanggil atlet terbabit untuk memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Disiplin persatuan itu di Kompleks Sukan Desa Tasik, Sungai Besi, dekat sini, berhubung isu doping yang dikaitkan dengan dirinya sebelum ini.

Media yang membuat liputan majlis itu melihat kelibat Mr Universe, Sazali Samad turut berada di situ.

Mengulas lanjut, Kamaruzaman berkata atlet bina badan berprofil tinggi itu bakal dikenakan hukuman empat tahun bermula daripada tarikh ujian doping dilakukan seperti ditetapkan Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) jika didapati bersalah.