Sah Lian di Limbang

Sah Lian di Limbang

Oleh Arissa

 

LIMBANG, 11 Sept – “Kami hanya menunggu mana-mana kapal yang melintas di perairan Miri untuk memberitahu kapal rosak, manakala telefon bimbit tidak dapat digunakan kerana tiada isyarat panggilan,” demikian luah kapten kapal kargo Sah Lian, Haryanto Iskandar 39.

Haryanto menjelaskan mereka terpaksa menunggu kapal yang melintas untuk mendapatkan pertolongan dan memaklumkan mengenai kapal yang rosak itu.

“Sebaik melihat sebuah kapal milik Sin Yang melintas di perairan sama, kami segera memaklumkan mengenai keadaan kami (kapal rosak).

“Mereka segera memaklumkan perkara itu kepada syarikat kami Kian Lian Shipping Sdn Bhd di Kuching, sebelum ditemui berada di perairan Miri dengan selamat,” katanya.

SELAMAT..Kapal Sah Lian tiba di Limbang semalam - Bernama
SELAMAT..Kapal Sah Lian tiba di Limbang semalam – Bernama

Haryanto ditemui pemberita semalam sebaik tiba di pelabuhan kapal di kawasan Perindustrian, Jalan Kubong jam 1 petang semalam. Selain Haryanto, kapal yang membawa muatan pelbagai jenis barangan turut membawa 13 kru kapal yang kebanyakkannya berbangsa India dan Myanmar.

Haryanto yang bekerja sebagai kapten di kapal Sah Lian lebih dua bulan lalu berkata lagi kapal terbabit belayar dari Kuching pada 2 September lepas.

“Kami tiba di Bintulu pada 4 September (dua malam) dan mengalami kerosakan sebelum hanyut ke Miri,” ujarnya.

Kapal berkenaan sepatutnya dijangka tiba di Limbang pada 5 September.

Sebelum ini media melaporkan kehilangan Kapal kargo Sah Lian akibat kerosakan pada punca kuasa utama, kotak gear dan ‘Crank Shaft Propeller’.