Saham AirAsia meningkat tinggi

Saham AirAsia meningkat tinggi

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) – Saham AirAsia Bhd meningkat dalam dagangan pagi di Bursa Malaysia susulan cadangan syarikat penerbangan itu menjadi syarikat persendirian.

Pada 11.15 pagi, saham syarikat itu meningkat enam sen kepada RM1.87, dengan 25.544 juta unit bertukar tangan.

Menurut laporan yang memetik sumber, menyebut Tune Air Sdn Bhd (pengasas AirAsia) sudah lama berunding dengan China Everbright Bank Co Ltd, untuk menjadikan AirAsia syarikat persendirian.

Penganalisis Maybank Investment Bank, Mohshin Aziz, berkata cakap-cakap mengenai cadangan AirAsia itu tenggelam timbul sejak penyenaraiannya semula pada November 2014.

“Berdasarkan kiraan kami, cadangan itu sudah lima kali timbul, dan keenam kali ini. “Namun, tawaran rasmi tidak dikemukakan kepada AirAsia untuk itu, sekali gus memberi gambaran bahawa ia tidak berlaku dalam tempoh terdekat seperti yang dijangkakan oleh pasaran,” katanya dalam nota kajiannya hari ini.

Mohshin berkata, jika penswastaan itu berlaku dan pada harga saham terakhir sebanyak RM1.81, ini bermakna RM4.08 bilion perlu disediakan oleh Tune Air dan China Everbright.

Maybank Investment Bank membuat unjuran neutral ke atas cadangan itu sementara menunggu maklumat lanjut, dan membuat penarafan ‘simpan’ daripada ‘beli’ ke atas AirAsia hasil daripada prestasi harga sahamnya yang baik.

ARTIKEL YANG SAMA