Saham Asia catat paras tertinggi

Saham Asia catat paras tertinggi

TOKYO, 16 Ogos – Saham Asia meningkat ke paras tertinggi dalam tempoh setahun, meneruskan kenaikannya setakat ini kepada hampir 10 peratus.

Ia dibantu oleh kenaikan dalam harga minyak dan jangkaan pelabur dasar monetari akan terus dilonggarkan di seluruh dunia.

Indeks meluas MSCI saham Asia Pasifik di luar Jepun meningkat 0.2 peratus, menjadikan kenaikannya setakat ini kepada 9.9 peratus. Indeks Nikkei di Jepun hampir tidak berubah.

Di Wall Street malam tadi, indeks saham S&P 500, Dow dan Nasdaq semua ditutup pada paras tertinggi dalam sejarah, meningkat antara 0.3 hingga 0.6 peratus. Saham Brazil juga mencecah paras tertinggi dalam tempoh dua tahun, dibantu oleh harga minyak lebih tinggi. – Agensi