Saham Asia catat untung ekoran reaksi Brexit

Saham Asia catat untung ekoran reaksi Brexit

TOKYO, 30 Jun (Agensi) – Saham Asia meningkat hari ini, menjejaki kenaikan semalaman di Wall Street, manakala yen Jepun yang lebih selamat berundur apabila pasaran global kembali tenang selepas kejutan Brexit minggu lalu.

Indeks luas MSCI saham AsiaPasifik di luar Jepun meningkat 0.4 peratus, menjarakkan diri lebih jauh dari paras terendah sebulan Jumaat lalu, apabila ia menjunam lebih tiga peratus ekoran reaksi kepada keputusan Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU).

Saham Australia menokok 0.3 peratus dan Nikkei Jepun meningkat 1.2 peratus.

Semalaman, Dow telah meningkat 1.6 peratus, manakala FTSE Britain bangkit untuk hari kedua, sambil menjejak kembali semua kerugian yang dialami ekoran reaksi kepada Brexit.

Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama, kelmarin berkata, beliau menjangkakan ekonomi dunia akan stabil dalam jangka masa singkat selepas keputusan Britain, tetapi melahirkan kebimbangan mengenai pertumbuhan global jangka panjang.

Namun, bank-bank pusat utama dijangka akan mengekalkan kelonggaran dasar monetari ekoran jangkaan satu lagi situasi yang akan menjejaskan pertumbuhan global kerana Brexit telah menyokong aset risiko global.

Penganalisis juga menyaksikan kejatuhan hasil hutang kerajaan baru-baru ini sebagai satu faktor yang menggalakkan pelabur terhadap ekuiti.

“Walaupun kesan penuh Brexit masih tidak menentu, satu perkara yang telah dicapai dengan jayanya adalah menjatuhkan kadar hasil bon global ke paras terendah baharu dan mengekalkan dasar monetari yang longgar untuk lebih lama,” tulis Angus Nicholson, penganalisis pasaran di IG di Melbourne.

ARTIKEL YANG SAMA