Saham Asia dibuka rendah, pelabur bimbang kesan Brexit

Saham Asia dibuka rendah, pelabur bimbang kesan Brexit

TOKYO, 27 Jun (Agensi) – Saham Asia dibuka lemah dan pound jatuh hampir dua peratus pada awal dagangan di Asia hari ini kerana pasaran berdepan kesukaran daripada ketidaktentuan yang dicetuskan keputusan Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU).

Pasaran saham global jatuh hampir kira-kira AS$2 trilion dari segi nilai pada Jumaat lalu, dengan Indeks MSCI jatuh 4.8 peratus, kejatuhan terbesarnya dalam tempoh hampir lima tahun.

Antara kebanyakan soalan mengenai keluarnya Britain dari EU atau Brexit, mencetuskan berapa banyak ekonomi United Kingdom (UK) dan Eropah akan perlahan, bagaimana mereka akan berunding mengenai hubungan baharu mereka dan bagaimana pemimpin Eropah akan cuba merangsang EU.

“Kami percaya pasaran akan kekal berhati-hati kerana ketidaktentuan terhadap rundingan keluar menimbulkan risiko terhadap sentimen,” kata Ketua Penganalisis Teknikal RBC Dominion Securities yang berpangkalan di Toronto, George Davis.

Indeks S&P jatuh 0.7 peratus kepada 2,004 hari ini, menghampiri paras rendah dalam tempoh tiga setengah bulan 1,999 yang dicatatkan pada Jumaat lalu. Indeks meluas saham MSCI Asia Pasifik di luar Jepun jatuh 0.5 peratus.

Beberapa individu ketika melihat papan saham elektronik firma sekuriti di Tokyo, semalam. Saham Jepun dan China meningkat semalam, harga minyak mentah jatuh dan saham AS menuju pembukaan yang lebih rendah yang dicetuskan daripada keputusan Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). – AP
Beberapa individu ketika melihat papan saham elektronik firma sekuriti di Tokyo, semalam. Saham Jepun dan China meningkat semalam, harga minyak mentah jatuh dan saham AS menuju pembukaan yang lebih rendah yang dicetuskan daripada keputusan Britain untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). – AP

Kejatuhan 1.2 peratus saham Korea Selatan dan kemerosotan satu peratus di pasaran Australia. Indeks Nikkei, bagaimanapun, meningkat 1.3 peratus, meningkat sedikit selepas jatuh 7.9 peratus pada Jumaat lalu.

Pound jatuh 1.9 peratus kepada AS$1.3433, meskipun masih jauh daripada paras rendahnya dalam tempoh 31 tahun AS$1.3228 yang dicatatkan pada Jumaat lalu.

Berbanding yen, pound jatuh lebih dua peratus kepada 136.85 yen, sementara euro terus berdepan tekanan dengan jatuh 0.8 peratus berbanding dolar AS.

Harga minyak mentah jatuh lebih satu peratus pada awal dagangan, dengan kontrak penanda aras global, Brent jatuh 1.3 peratus kepada AS$47.80 setong.