Saham Asia dibuka tinggi, pelabur berhati-hati

Saham Asia dibuka tinggi, pelabur berhati-hati

TOKYO, 21 Jan – Saham Asia dan dolar Amerika Syarikat (AS) tinggi hari ini, tetapi pelabur kekal berhati-hati kerana ketidakstabilan sekali lagi di Wall Street dan harga minyak yang mencadangkan ketidaktentuan dalam pasaran kewangan akan berterusan.

Penjualan besar-besaran dalam pasaran minyak dilihat berkurangan dalam dagangan awal di Asia, meskipun perangkaan dari AS menunjukkan kerapuhan ekonomi global dan keyakinan pelabur. Indeks meluas saham Asia Pasifik di luar Jepun, MSCI naik 0.7 peratus.

Indeks Nikkei Jepun meningkat 0.5 peratus selepas jatuh 3.7 peratus pada sesi sebelumnya kepada paras penutup terendah dalam tempoh 14-1/2 bulan.

Di Wall Street, indeks utama ditutup rendah lebih satu peratus. Kontrak hadapan minyak mentah AS bagi penghantaran Februari, yang akan tamat hari ini, jatuh 6.7 peratus kepada AS$26.55.

Pejalan kaki berjalan melintasi papan elektronik yang menunjukkan Bursa Saham Nikkei di Tokyo, Je-pun semalam. - Reuters
Pejalan kaki berjalan melintasi papan elektronik yang menunjukkan Bursa Saham Nikkei di Tokyo, Je-pun semalam. – Reuters

Kontrak hadapan baharu, Mac jatuh hampir empat peratus kepada AS$28.35 setong semalam, tetapi meningkat 1.3 peratus pada awal dagangan Asia kepada AS$28.73. Dolar AS juga meningkat semula daripada paras rendah setahun berbanding yen.

Mata wang ekonomi terbesar dunia itu meningkat kira-kira 0.3 peratus kepada 117.25 yen selepas jatuh serendah 115.97, meskipun ia mencatatkan peningkatan kukuh berbanding beberapa mata wang pasaran baharu muncul lain.

“Ia bukan hari biasa dalam pasaran tukaran asing bila Ruble Russia dan Peso Mexico mencecah paras rekod terendahnya sementara dolar Hong Kong jatuh ke paras terendahnya sejak 1999,” kata Pengarah Urusan BK Asset Management yang berpangkalan di New York, Kathy Lien.

“Negara pasaran baharu muncul menjadi mangsa jualan kerana pertumbuhan perlahan global dan ketidaktentuan dalam komoditi menjejaskan secara ketara ekonomi negara ini,” katanya dalam nota kepada pelanggannya.

Euro jatuh kira-kira 0.1 peratus kepada AS$1.0873, menjelang mesyuarat dasar Bank Pusat Eropah (ECB) hari ini.

Jangkaan adalah ECB akan mengekalkan kadar faedahnya kukuh tetapi mengetengahkan peningkatan risiko terhadap pertumbuhan dan inflasi sementara sentiasa terbuka untuk langkah mengurangkannya lagi tahun ini. – Reuters