Saham Asia meningkat, ambil isyarat ECB

Saham Asia meningkat, ambil isyarat ECB

TOKYO, 22 Jan (Reuters) – Saham Asia meningkat dalam dagangan pagi ini, selepas pasaran mendapat sedikit ruang apabila Bank Pusat Eropah (ECB) memberi bayangan untuk melaksanakan lebih banyak pelonggaran dasar monetari, dengan minyak mentah pula meneruskan rali semalaman.

Indeks Nikkei Jepun meningkat tiga peratus untuk bergerak daripada paras terendah 15 bulan yang dicatatkan semalam, manakala saham Australia menokok 0.9 peratus.

Indeks meluas MSCI saham Asia di luar Jepun meningkat 0.9 peratus. Indeks itu mencecah paras terendah empat tahun semalam. Ia kehilangan 1.5 peratus minggu ini yang menyaksikan penyusutan harga minyak dan kebimbangan pertumbuhan global yang diterajui China terus menjejaskan aset risiko di seluruh dunia.

ECB mampu membendung tahap pesimis pelabur buat masa ini selepas Presidennya, Mario Draghi memberi bayangan bahawa lebih banyak dasar pelonggaran akan dilaksanakan dalam beberapa bulan akan datang.

Seorang lelaki memandang papan stok saham elektronik di luar bursa saham di Tokyo, Jepun. – Reuters
Seorang lelaki memandang papan stok saham elektronik di luar bursa saham di Tokyo, Jepun. – Reuters

Pertumbuhan perlahan dan prospek inflasi memaksa bank pusat itu menyemak semula pendirian dasarnya Mac ini, kata Draghi.

“Ramai ahli ekonomi percaya Draghi akan mengelak untuk mengeluarkan kenyataan khusus mengenai tindakan dasar, namun seperti yang kami katakan, kenaikan tiga peratus euro dan penurunan harga minyak sejak Disember memberikan sebab untuknya berbuat sesuatu,” kata Pengarah Urusan Strategi Tukaran Asing BK Asset Management, Kathy Lien.

Mata wang euro susut kepada AS$1.0856. Mata wang tunggal itu jatuh ke paras terendah dalam lapan bulan AS$1.0523 bulan lalu, namun meningkat ketara kerana keputusan ECB pada bulan berkenaan tidak berada dalam jangkaan.