Saham China catat kemerosotan

Saham China catat kemerosotan

SHANGHAI, 24 Ogos (AFP) – Saham China merosot hari ini, menghapuskan pemerolehan dan menjurus kepada satu kemelesetan di seluruh ekuiti Asia tatkala campur tangan pasaran terbaru oleh Beijing gagal memulihkan keyakinan, dengan kebimbangan meningkat mengenai ekonomi yang terbantut itu.

Saham China telah merosot sejak mencapai kemuncak pada pertengahan Jun dan pihak berkuasa telah melancarkan campur tangan untuk membendung kemerosotan, namun kebimbangan mengenai pertumbuhan yang terbantut dan keraguan mengenai penilaian terus menghambat pasaran. Penurunan nilai yuan yang mengejutkan pada 11 Ogos menambah kebimbangan bahawa ekonomi kedua terbesar dunia itu adalah lebih lemah daripada difikirkan, sekali gus mencetuskan penjualan yang telah menghapus lebih AS$5 trilion daripada pasaran ekuiti dunia. Indeks Komposit Shanghai merosot 8.45 peratus, atau 296.54 mata, kepada 3,211.20 pada waktu rehat, di bawah tahap penutup pada 31 Disember tahun lalu, menghapus kesemua pemerolehan 2015, selepas kerugian sebanyak 8.59 peratus.

Indeks Komposit Shenzhen, yang menjejaki saham di bursa saham kedua China, merosot 7.61 peratus, atau 155.24 mata, kepada 1,884.16.Indeks Hang Seng di Hong Kong merosot 4.64 peratus, atau 1,039.92 mata kepada 21,369.7 pada akhir perniagaan pagi.

Aksi gusar seorang pelabur saham di depan skrin harga saham di sebuah firma sekuriti di Hangzhou, di wilayah Zhejiang di bahagian timur China, pada 24 Ogos 2015. – AFP
Aksi gusar seorang pelabur saham di depan skrin harga saham di sebuah firma sekuriti di Hangzhou, di wilayah Zhejiang di bahagian timur China, pada 24 Ogos 2015. – AFP

Taipei mencatat kemerosotan terbesar, pada 7.46 peratus, sementara pasaran serantau juga merosot, termasuk Nikkei 225 di Tokyo merosot 3.21 peratus. Minyak diniagakan di bawah AS$40 satu tong, pada tahap paling rendahnya sejak 2009.

“Ekonomi China adalah agak suram dan beberapa sektor mempunyai gelembung,” beritahu Wu Kan, pengurus dana yang berpangkalan di Shanghai di JK Life Insurance, kepada Bloomberg News.

“Tekanan penjualan di seluruh pasaran global juga menjejas sentimen tempatan. Komposit Shanghai mungkin merosot kepada kira-kira 3,000 mata.”

ARTIKEL YANG SAMA